ARAU: Interaksi secara langsung antara peserta antarabangsa, mahasiswa dan komuniti setempat merupakan platform terbaik membina persahabatan, memupuk persefahaman serta menghormati kepelbagaian budaya.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, penglibatan dalam aktiviti gotong-royong, rewang dan kenduri kampung memberi peluang kepada para peserta untuk menghayati sendiri nilai kerjasama, kemurahan hati serta semangat bermasyarakat yang menjadi identiti rakyat Perlis.
Baginda bertitah, pengalaman bersama itu menjadikan diplomasi budaya lebih bermakna kerana hubungan persahabatan dibina melalui penglibatan dan pengalaman sebenar, bukan sekadar pertemuan formal.
“Sesungguhnya, kejayaan program seumpama ini bukan hanya diukur melalui aktiviti dilaksanakan, tetapi juga melalui hubungan terjalin, manfaat dikongsi dan nilai positif dibawa pulang oleh setiap peserta,” titah baginda berkenan berangkat menyempurnakan majlis perasmian Program Sahabat Antarabangsa Perlis dan UiTM (SAPA) 2026 di pekarangan Masjid Muhammadiah, Kampung Guar Gajah di sini.
Baginda turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan SAPA 2026 dan berharap program berkenaan dapat terus menjadi platform untuk memperkukuh persahabatan antarabangsa, memperkasa kesejahteraan komuniti, mempromosikan keunikan Perlis serta menyemai kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar.
SAPA 2026 dianjurkan oleh UiTM cawangan Perlis yang berlangsung dari 11 hingga 13 Oktober 2026 dengan program berkenaan merupakan antara pengisian utama UiTM–Global University Network (UGUN) Summer Camp 2026.
SAPA 2026 dirangka sebagai platform libat urus komuniti yang menghimpunkan mahasiswa antarabangsa daripada pelbagai latar belakang negara, termasuk 25 pelajar antarabangsa baharu dari Universiti Malaysia Perlis (Unimap).
Sepanjang tiga hari penganjuran, para peserta berpeluang mengenali warisan, budaya dan landskap sosioekonomi Perlis menerusi pelbagai aktiviti yang menggabungkan elemen kemasyarakatan, pendidikan, inovasi dan pendedahan industri.
Antara pengisian utama aktiviti gotong-royong, penyediaan masakan kenduri kampung, sukan rakyat dan bengkel mencanting batik yang memberi peluang kepada peserta berinteraksi secara langsung dengan masyarakat setempat sambil menghayati tradisi serta nilai kehidupan masyarakat Perlis.-UTUSAN











