PETALING JAYA: Motosikal yang ditunggangi seorang anggota tentera hilang kawalan sebelum mangsa tercampak dari jejambat dan maut selepas dilanggar sebuah lori dalam kejadian di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Terminal Bersepadu Selatan (TBS), pada Selasa lalu.
Kejadian berlaku pada pukul 8.04 pagi itu mendapati mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Bukit Jalil menuju ke tempat kerja di Kem Sungai Besi dengan menunggang motosikal Honda Wave.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd Isa berkata, mangsa ketika melalui susur jejambat untuk membuat pusingan U dipercayai telah hilang kawalan sebelum tercampak dari jejambat berketinggian kira-kira lima meter ke jalan raya di bawah.
Katanya, motosikal dinaiki mangsa bagaimanapun masih berada di jejambat.
“Mangsa yang terjatuh telah menimpa seorang lelaki berusia 46 tahun yang sedang menunggang motosikal Honda Vario dari arah Cheras menghala ke Sungai Besi, menyebabkan kedua-duanya terjatuh di atas jalan raya.
“Pada masa sama, sebuah lori Isuzu yang dipandu lelaki berusia 46 tahun cuba mengelak kedua-dua mangsa namun tidak sempat lalu melanggar motosikal Honda Vario tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, akibat kemalangan, anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) berkenaan mengalami kecederaan parah di kepala dan badan serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Tambahnya, penunggang Honda Vario pula mengalami patah tangan kiri, kecederaan di muka serta pendarahan di kepala dan telah dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk rawatan lanjut.
“Pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H S Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-UTUSAN











