KUALA LUMPUR: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyamar sebagai pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menawarkan lesen perniagaan, awal bulan lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Ucis Ikmal Shah Mohd Ali, 21, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Chan Choon Yew.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memperdaya Norizawati Hamzah dengan menyamar sebagai pegawai DBKL bagi menawarkan lesen perniagaan pada harga RM500.
Perbuatan itu telah mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM300 kepada tertuduh di sebuah kedai makan di Desa Petaling, di sini, pada pukul 6 petang, 4 Oktober lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nuralisa Natasha Nazrulzam manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 20 November ini.-UTUSAN











