Kerajaan Madani tetap utamakan pembangunan Sabah, Sarawak – Mustapha

Kerajaan Madani tetap utamakan pembangunan Sabah, Sarawak – Mustapha

MUSTAPHA SAKMUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Peruntukan pembangunan kepada Sabah dan Sarawak terus meningkat kepada RM34.9 bilion menerusi Belanjawan 2027, meskipun defisit fiskal negara terus menurun, sekali gus membuktikan disiplin kewangan kerajaan tidak menghalang pelaksanaan agenda pembangunan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, Belanjawan 2027 memperuntukkan RM18.7 bilion kepada Sabah dan RM16.2 bilion kepada Sarawak, peruntukan tertinggi dalam sejarah.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan peruntukan kepada kedua-dua negeri itu meningkat RM2.2 bilion berbanding tahun sebelumnya, sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan Madani untuk memastikan pembangunan di Sabah dan Sarawak terus diberi keutamaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Lebih penting, di sebalik konflik geopolitik, ketidaktentuan ekonomi global dan tekanan subsidi bahan api, Kerajaan Madani tetap mengutamakan pembangunan Sabah dan Sarawak.

“Inilah bukti bahawa disiplin fiskal tidak menghalang kerajaan daripada terus melaksanakan agenda pembangunan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mustapha mengulas kritikan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin terhadap Belanjawan 2027 yang menyifatkan kerajaan seolah-olah ‘menyembelih angsa bertelur emas’ apabila melibatkan institusi strategik negara seperti Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam agenda pembangunan.

Beliau mempersoalkan dakwaan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak memikirkan kepentingan generasi akan datang, sedangkan kerajaan konsisten melaksanakan disiplin fiskal dan mengawal pinjaman baharu negara.

Menurutnya, defisit fiskal negara yang mencecah 6.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021 dan 5.5 peratus pada 2022, menurun kepada 5.0 peratus pada 2023, 4.1 peratus pada 2024 dan 3.7 peratus pada 2025.

Defisit fiskal itu diunjurkan terus berkurang kepada 3.6 peratus pada 2026 dan 3.3 peratus pada 2027.

Pada masa sama, katanya, pinjaman baharu kerajaan Persekutuan turut berkurang daripada kira-kira RM100 bilion setahun pada 2021 dan 2022 kepada RM75.6 bilion pada 2025.

“Penurunan ini jelas membuktikan usaha kerajaan mengurus kewangan negara secara berhemah dengan matlamat mengurangkan beban hutang yang perlu ditanggung oleh generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata, pengurangan defisit fiskal dan kawalan pinjaman baharu tidak menjejaskan usaha kerajaan memastikan pembangunan infrastruktur, pendidikan, kesihatan serta peluang ekonomi di Sabah dan Sarawak terus menjadi sebahagian daripada agenda pembangunan negara.

Sehubungan itu, Mustapha mencabar Ketua Pembangkang mengemukakan cadangan belanjawan alternatif yang jelas dan terperinci, termasuk kaedah mengurangkan defisit fiskal sambil memastikan pembangunan negara, khususnya di Sabah dan Sarawak, terus dilaksanakan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini