JustGO rekod lebih tiga juta transaksi pembayaran tol - Utusan Malaysia

JustGO rekod lebih tiga juta transaksi pembayaran tol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sistem pembayaran tol berasaskan Pengecaman Nombor Pendaftaran Automatik (ANPR), JustGO mencatatkan lebih tiga juta transaksi dalam keadaan trafik sebenar.

Menurut JustGO, pencapaian tersebut merupakan satu langkah praktikal ke arah pelaksanaan penuh aliran bebas berbilang lorong (MLFF) di Malaysia.

Katanya, sistem itu kini tersedia di 93 plaza tol melibatkan 966 lorong, membolehkan pengguna berdaftar bebas masuk dan keluar melalui mana-mana lorong di plaza tol yang mengambil bahagian.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, kemudahan dikenali sebagai #Lane Freedom itu menggunakan nombor pendaftaran kenderaan sebagai asas pembayaran tol.

“JustGO menggunakan teknologi ANPR untuk membaca nombor pendaftaran kenderaan yang berdaftar dan membolehkan tol dibayar melalui kad debit atau kredit yang telah dipautkan.

“Pengguna tidak perlu menyentuh kad, menambah nilai baki berasingan atau memasang peranti dalam kenderaan. Pendaftaran percuma dan kadar tol biasa dikenakan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut JustGO, sistem pembayaran terbuka itu kini menyokong kad debit dan kredit, manakala pembayaran terus daripada akaun bank serta melalui e-dompet akan diperkenalkan secara berperingkat.

Jelasnya, langkah seterusnya adalah memperluas penggunaan sistem berkenaan ke lebih banyak lebuh raya berdasarkan pengalaman mengendalikannya dalam keadaan trafik sebenar.

“Penyertaan lebih banyak lebuh raya dalam platform yang sama akan memberi pengguna lebuh raya pengalaman pembayaran tol yang lebih lancar merentas rangkaian, di samping mengukuhkan kesalingoperasian sebagai persediaan ke arah MLFF,” katanya.

Sementara itu, pengguna JustGO, Victor Lee Wei Han berkata, sistem berkenaan membolehkannya memilih lorong lain apabila berdepan kesesakan di plaza tol.

“JustGO mengatasi satu masalah biasa di plaza tol, iaitu kesesakan kerana lorong ditetapkan mengikut kaedah pembayaran. Sekarang, saya boleh pilih lorong lain daripada terus menunggu dalam barisan itu,” katanya.

Seorang lagi pengguna JustGO, Amirul Hakim Roslan berkata, sistem berkenaan memudahkannya memilih lorong tanpa perlu mengingati kaedah pembayaran yang digunakan ketika memasuki lebuh raya.

“Kadangkala saya terlupa sama ada saya masuk menggunakan kad atau RFID. Apabila hendak keluar dari lebuh raya, saya perlu ingat semula kaedah yang saya gunakan.

“Dengan JustGO, saya bebas memilih mana-mana lorong tanpa perlu memikirkan cara saya membayar. Ia sangat memudahkan saya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini