Penduduk protes larangan hijab di Azerbaijan, akses media sosial disekat

Penduduk protes larangan hijab di Azerbaijan, akses media sosial disekat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TBILISI: Pengguna internet di Azerbaijan melaporkan gangguan akses ke media sosial ketika bantahan terhadap sekatan pemakaian hijab di sekolah berterusan.

Polis turut mengumumkan penahanan 37 individu berhubung kekecohan mengenai peraturan baharu pakaian seragam itu.

Pengguna Instagram dan TikTok mengadu video gagal dimuatkan dan paparan suapan tidak dapat dikemas kini, malah ada yang mendakwa hanya dapat mengakses platform berkenaan melalui rangkaian persendirian maya (VPN).

Memuatkan artikel berkaitan…

Sesetengah pengguna mengesyaki gangguan itu berkaitan penyebaran video yang memaparkan bantahan di sekolah.

Pada September lalu, Azerbaijan meminda peraturan pakaian seragam di sekolah kerajaan dengan melarang pemakaian pakaian tambahan yang bercanggah dengan seragam ditetapkan atau prinsip pendidikan sekular, tanpa menyebut hijab secara khusus.

Media tempatan melaporkan pelajar berhimpun di luar sekolah pada Isnin dan memboikot kelas sebagai tanda solidariti terhadap pelajar perempuan yang didakwa tidak dibenarkan memasuki sekolah kerana memakai hijab.

Kementerian Dalam Negeri memberitahu agensi berita APA, beberapa individu di Baku berdepan dengan kakitangan sekolah berhubung peraturan pakaian seragam, merosakkan sekolah dan cuba mengganggu sesi pembelajaran.

“Seramai 37 individu ditahan selepas siasatan jenayah dibuka berhubung perbuatan mengganggu ketenteraman awam,” menurut kementerian itu.

Keputusan kerajaan Azerbaijan yang secara tidak langsung melarang pelajar dan kakitangan sekolah memakai hijab mencetuskan bantahan serta kempen di media sosial.

Pindaan yang diluluskan bulan lalu tidak melarang hijab secara jelas, sebaliknya melarang pakaian yang menurut kerajaan melanggar prinsip sekularisme.

Bantahan tercetus selepas beberapa sekolah mula menghalang pelajar dan guru daripada menghadiri kelas kerana memakai hijab.

Seorang guru, Zahra Hasanova, memberitahu Al Jazeera, beliau dimaklumkan tidak lagi dibenarkan memakai hijab di sekolah.

“Sejujurnya, saya agak beremosi. Saya berasa terluka.

“Pemakaian hijab ialah pilihan peribadi. Jika suatu hari nanti saya mahu menanggalkannya, itu juga sepatutnya menjadi pilihan saya,” katanya.

Video yang tersebar di media sosial menunjukkan pelajar memeluk guru mereka sambil menangis selepas dihalang memasuki sekolah. Media tempatan melaporkan pelajar di sekurang-kurangnya dua sekolah memboikot kelas sebagai bantahan terhadap sekatan itu.

Wartawan yang dipenjarakan, Polad Aslanov yang sedang menjalani hukuman penjara 113 tahun selepas disabitkan atas kesalahan pengkhianatan pada 2020, turut melancarkan mogok lapar bagi membantah peraturan baharu berkenaan.

“Walaupun berada di penjara, saya tetap menyuarakan bantahan terhadap pencabulan hak perlembagaan kita dengan menggunakan satu-satunya cara perjuangan yang ada pada saya, iaitu mogok lapar!” tulis Aslanov dalam mesej yang disiarkan di Facebook oleh isterinya, Gulmira Aslanova.

Azerbaijan, negara kaya dengan sumber tenaga yang majoriti penduduknya beragama Islam Syiah, muncul sebagai antara negara paling sekular di dunia Islam selepas beberapa dekad berada di bawah pemerintahan Soviet.

Pihak berkuasa mengenakan sekatan terhadap amalan keagamaan dan menahan golongan radikal bagi menghalang penyebaran ekstremisme. Bagaimanapun, pengkritik menuduh kerajaan menindas umat Islam yang taat mengamalkan agama.

Sekatan pemakaian hijab sebelum ini turut mencetuskan demonstrasi pada 2010 hingga 2012, yang menyaksikan polis menyuraikan perhimpunan dan melakukan penahanan.

Perhimpunan awam di Azerbaijan tertakluk kepada sekatan ketat, manakala kerajaan Presiden, Ilham Aliyev berdepan kritikan negara Barat berhubung layanan terhadap pembangkang politik dan media bebas.-AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini