Negara Arab batal penerbangan ke Riyadh

Negara Arab batal penerbangan ke Riyadh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Beberapa syarikat penerbangan di rantau Arab menggantung atau membatalkan penerbangan dari dan ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid susulan serangan Houthi yang mengorbankan nyawa dan mengganggu operasi di lapangan terbang itu di Riyadh.

Lapangan terbang kedua tersibuk di Arab Saudi selepas Jeddah itu menggantung operasi sementara pada Sabtu selepas satu serangan mengorbankan 13 orang dan mencederakan lebih 300 yang lain.

Satu lagi serangan pada Ahad mengorbankan seorang individu dan mencederakan lebih 10 orang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Syarikat penerbangan Bahrain, Gulf Air, mengumumkan pada Isnin penerbangan dari dan ke Riyadh dibatalkan mulai 12 hingga 17 Oktober.

Qatar Airways turut mengumumkan pada Isnin penggantungan sementara penerbangan ke Riyadh dan Dammam susulan perkembangan semasa.

Sementara itu, Etihad Airways dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) memaklumkan semua penerbangan antara Abu Dhabi dengan Riyadh dibatalkan sehingga 19 Oktober.

Syarikat penerbangan itu turut membatalkan semua penerbangan antara Abu Dhabi dengan Dammam yang dijadualkan pada Selasa dan Rabu, selain beberapa penerbangan terpilih antara Abu Dhabi dengan Jeddah sehingga Khamis.

Terdahulu pada Isnin, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Arab Saudi mengumumkan penggantungan operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid dilanjutkan sehingga diberitahu kelak.

Menurut pihak berkuasa itu, lanjutan berkenaan diperlukan bagi melengkapkan pemeriksaan keselamatan kemudahan lapangan terbang dan memastikan kesediaan operasinya, dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan.

Kuwait Airways sebelum ini mengumumkan pembatalan penerbangan ke Riyadh menerusi kenyataan berasingan pada Sabtu dan Ahad berikutan penutupan sementara lapangan terbang itu.

EgyptAir pula memaklumkan pada Sabtu penerbangan dari Kaherah dan Iskandariah ke Riyadh digantung sehingga operasi disambung semula, susulan penggantungan sementara operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid akibat keadaan semasa.

Lima lapangan terbang di Arab Saudi menjadi sasaran 10 serangan Houthi sejak 5 Oktober, mengorbankan 20 orang dan mencederakan ratusan yang lain.

Serangan itu turut menyebabkan kerosakan harta benda serta mengganggu lalu lintas udara.

Serangan berkenaan berlaku ketika ketegangan ketenteraan antara Arab Saudi dengan Houthi terus meningkat sejak Julai, termasuk serangan terhadap kemudahan penerbangan awam dan infrastruktur tenaga di negara itu.

Arab Saudi mengetuai gabungan ketenteraan yang menyokong kerajaan Yemen menentang Houthi sejak 2015. Kumpulan itu menguasai Sanaa dan beberapa wilayah lain sejak 2014.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini