Dituduh curi motosikal punca remaja lelaki dibelasah hingga mati

Dituduh curi motosikal punca remaja lelaki dibelasah hingga mati

ANTARA suspek yang disyaki terlibat dalam kes meragut nyawa seorang remaja lelaki di Gurun, Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Remaja lelaki yang dijumpai meninggal dunia dengan mayatnya dibuang di kawasan semak berhampiran Jalan Harvard Golf Club, Sungai Petani dipercayai dibelasah selepas dituduh mencuri motosikal.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, mangsa terlebih dahulu dikurung selama dua hari sejak 5 Oktober lalu di Gurun sebelum dia dipercayai diseksa oleh kira-kira 14 suspek.

Katanya, siasatan mendapati mangsa telah meninggal dunia di tempat dia dikurung pada 7 Oktober sebelum mayat dijumpai orang awam pada keesokan harinya di kawasan semak terbabit.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan akibat hentakan objek tumpul di kepala, namun kita belum menemui objek terbabit.

“Siasatan yang dijalankan pula mendapati motif kejadian berpunca daripada kemarahan suspek yang menerima aduan daripada penduduk tempatan menyatakan si mati telah mencuri motosikal,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.

Bagaimanapun, Adzli berkata, tiada laporan diterima polis berkaitan kecurian motosikal yang didakwa melibatkan mangsa, dengan kenderaan itu dipercayai telah ditemui semula.

Katanya, polis turut merampas 14 telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah kereta jenis Honda City, gunting yang dipercayai digunakan untuk memotong rambut mangsa dan satu kad pengenalan.

“Seramai 13 suspek tiada rekod kesalahan lampau, kecuali seorang melibatkan kes dadah. Manakala 12 daripadanya direman enam hari sehingga 14 Oktober dan dua suspek bawah umur direman lima hari sehingga esok,” katanya.

Pada 8 Oktober lalu, akhbar ini melaporkan mayat seorang lelaki dengan kesan luka di bahagian kepala dan muka ditemui terbaring di tepi semak berhampiran Jalan Harvard Golf Club, Gurun.

Susulan itu, 14 lelaki berusia 16 hingga 24 tahun kini ditahan polis bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ibu mangsa, Azura Zor, 41, berkata, dia tidak menyangka anak sulungnya, Muhammad Haikal Mohd. Shahrilnizam, 19, yang gagal dihubungi sejak akhir bulan lalu ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini