Seroja Gardens catat jualan 100 peratus dalam tempoh tiga jam

Seroja Gardens catat jualan 100 peratus dalam tempoh tiga jam

SEROJA Gardens di Nilai Impian, Negeri Sembilan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sime Darby Property Berhad mencatat kejayaan apabila fasa pertama pembangunan kediaman Seroja Gardens di Nilai Impian, Negeri Sembilan mencapai kadar jualan 100 peratus dalam tempoh hanya tiga jam selepas dilancarkan bulan lalu.

Kesemua 52 unit rumah berkembar setingkat berstatus pegangan bebas itu berjaya dijual, mencerminkan permintaan berterusan terhadap kediaman bertanah yang menawarkan ruang lebih luas, akses mudah ke pusat pekerjaan serta persekitaran komuniti yang kondusif.

Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Perbandaran Sime Darby Property, Appollo Leong berkata, sambutan menggalakkan itu mencerminkan permintaan terhadap kediaman bertanah yang lebih luas dalam kawasan perbandaran matang, khususnya dalam kalangan pembeli yang ingin menaik taraf kediaman dan keluarga yang semakin berkembang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, kedudukan strategik Nilai Impian yang mempunyai akses ke pusat pekerjaan utama di Putrajaya, Cyberjaya dan selatan Lembah Klang turut menjadi tarikan kepada pembeli yang mengutamakan kediaman lebih luas tanpa mengabaikan kemudahan untuk berulang-alik ke tempat kerja.

“Susulan kejayaan fasa pertama itu, kami akan melancarkan Seroja Gardens Fasa 2 pada November 2026, dengan nilai pembangunan kasar RM44 juta meliputi kawasan seluas 6.87 ekar.

“Harga bagi fasa kedua itu bermula daripada RM925,888,” katanya dalam kenyataan.

Seroja Gardens Fasa 1 mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM48.3 juta, meliputi kawasan seluas tiga hektar dengan setiap unit ditawarkan dengan keluasan binaan 1,971 kaki persegi.

Harga kediaman berkenaan bermula pada harga RM905,888.

Katanya, Seroja Gardens menyasarkan pemilik rumah teres yang ingin menaik taraf kediaman, keluarga serta golongan profesional bekerja dari Nilai, Putrajaya dan selatan Lembah Klang yang memerlukan ruang dan privasi lebih baik.

“Setiap unit dilengkapi tiga bilik tidur utama dan satu bilik tambahan, dua bilik air serta ruang luar yang luas untuk aktiviti keluarga. 

“Kediaman itu turut menyediakan anjung kereta selebar 7.8 meter,” ujarnya.

Tambahnya, pembangunan berkenaan juga mengintegrasikan ciri kelestarian menerusi penyediaan infrastruktur sistem fotovolta solar (PV), titik pengasingan bagi pengecas kenderaan elektrik (EV) dan tangki penuaian air hujan.

Dari segi aksesibiliti, Nilai Impian terletak berhampiran persimpangan Nilai dengan rangkaian lebuh raya utama termasuk Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS).

Pembangunan itu turut mendapat manfaat daripada akses ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Kuala Lumpur, Putrajaya, Cyberjaya dan Seremban, selain perkhidmatan KTM melalui stesen Batang Benar dan Nilai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini