Penampilan menarik tidak semestinya bergantung kepada pakaian mahal atau rekaan mewah, sebaliknya bermula dengan keyakinan diri ketika menyarungkan sesuatu busana.
Keyakinan itu hadir apabila pakaian yang dipilih selesa dipakai, diperbuat daripada fabrik bersesuaian dan mempunyai potongan menepati bentuk badan.
Kesemua aspek itu menjadi keutamaan pempengaruh, Farah Hamdan setiap kali memilih pakaian, sama ada untuk bersantai mahupun menghadiri sesuatu acara.
Baginya, soal keselesaan ketika berfesyen tidak boleh dipandang ringan terutama ketika berdepan cuaca panas.
“Pakaian selesa bukan sahaja menyerlahkan penampilan, malah membuatkan seseorang lebih yakin.
“Dulu, saya mungkin kurang mengambil berat tentang material pakaian, tetapi kini saya lebih cenderung memilih fabrik kapas dan linen,” katanya ketika ditemui pada kempen Dr. Cardin baru-baru ini.
Menurut Farah, potongan pakaian perlu disesuaikan dengan bentuk badan agar penampilan lebih kemas dan menarik.
Penggemar gaya elegan dan klasik ini bagaimanapun mengakui pemilihan tudung yang serasi dengan pakaian antara cabaran ketika melengkapkan penampilannya.
Malah, persiapan menghadiri sesuatu acara termasuk memilih pakaian dan bersolek boleh mengambil masa sehingga dua jam.

Teman setia aktiviti lasak, kembara
Jenama fesyen tempatan popular, Dr. Cardin kini memperkenalkan koleksi terbaharu, The Overlooked Campaign.
Koleksi ini menampilkan pelbagai pilihan kasut dan beg.
Ketua Penjenamaannya, Chong Charl Yee berkata, rekaannya menggabungkan elemen praktikal, gaya dan kualiti pada harga mampu milik bagi memenuhi keperluan pengguna yang gemar melakukan aktiviti luar serta meneroka destinasi baharu.
Antara yang ditawarkan ialah kasut sneakers EVA yang dilengkapi tapak anti gelincir bagi memberikan cengkaman dan kestabilan lebih baik pada pelbagai permukaan.
Selain itu, beg berkusyen lembut yang diperbuat daripada nilon kalis air, sesuai untuk menemani pengguna ketika melakukan aktiviti santai di luar.
Menariknya, reka bentuk beg yang ringan dan gebu membolehkannya digunakan sebagai bantal kecil ketika berehat sepanjang perjalanan, sekali gus menambah keselesaan ketika meneroka destinasi pilihan.











