KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan polis sedang berbincang untuk mewujudkan pusat kawalan kedua bagi memudahkan akses polis kepada kira-kira 10,000 kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar ibu negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, langkah itu penting bagi memperkukuh kerjasama kedua-dua pihak dalam pengurusan keselamatan dan trafik di Kuala Lumpur.
Menurutnya, walaupun DBKL mempunyai sistem CCTV pintar, pengurusan trafik masih memerlukan penglibatan anggota polis di lapangan bagi memastikan pergerakan kenderaan berjalan lancar.
“DBKL dan polis memang dalam perbincangan untuk perkara tersebut kerana kita memerlukan kerjasama rapat, sama ada dalam penggunaan CCTV ataupun pengurusan penutupan jalan.
“Bagi penganjuran larian, program kebudayaan atau konsert sekalipun, perbincangan dengan polis akan dilakukan terlebih dahulu sebelum sebarang pengumuman dibuat,” katanya dalam sidang akhbar Sumbangan Peralatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) kepada IPD Sentul di IPD Sentul, hari ini.
Hannah berkata, kerjasama tersebut penting kerana polis turut membantu DBKL mengawal lalu lintas dan keselamatan ketika pelaksanaan pelbagai program berskala besar di ibu negara.
Katanya, penyelarasan lebih awal antara DBKL dan polis membantu memastikan sebarang penutupan jalan atau kawalan trafik dapat dilaksanakan dengan lebih teratur.
“Kerjasama itu juga memudahkan pihak berkuasa menyelaras aspek keselamatan, pergerakan orang ramai serta kelancaran trafik sepanjang sesuatu program berlangsung,” katanya. – UTUSAN











