PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia yang disyaki terlibat dalam kejadian memukul seorang remaja menggunakan topi keledar di hadapan sebuah premis Inanam, Sabah malam Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Shahrudin Mat Husain berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada ibu mangsa pada 11 Oktober lalu, kira-kira jam 5.48 petang.
Menurut beliau, susulan siasatan yang dijalankan, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu berjaya menahan suspek di Kampung Melalin, Tuaran, kira-kira jam 12.45 tengah malam tadi.
“Usaha mengesan suspek lain yang dipercayai terlibat dalam kejadian ini masih diteruskan.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, polis menegaskan tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat dalam kejadian berkenaan.
Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi, menyebarkan maklumat tidak sahih atau mengeluarkan komen berunsur provokasi di media sosial yang boleh menjejaskan siasatan serta mencetuskan kegusaran awam.
“Orang ramai diminta memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh dan profesional,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Kota Kinabalu atau mana-mana balai polis berhampiran. – UTUSAN











