PETALING JAYA: Semua sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya (JPWPP) kembali beroperasi seperti biasa esok susulan penurunan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sejak tiga hari lalu.
JPWPP berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan analisis perkembangan bacaan IPU yang menunjukkan penurunan secara konsisten dalam tempoh tiga hari.
Menurutnya, bacaan IPU di Putrajaya kekal di bawah paras 150 dengan bacaan 70 direkodkan setakat pukul 2 petang tadi.
“Semua sekolah di bawah pentadbiran JPWPP akan beroperasi seperti biasa pada Isnin, 12 Oktober 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.
JPWPP berkata, pihaknya akan terus memantau bacaan IPU terkini secara berkala bagi memastikan sebarang perubahan status pengoperasian sekolah dapat dimaklumkan dengan segera.
Katanya, pentadbir sekolah turut diingatkan supaya sentiasa peka terhadap perubahan kualiti udara dan mengehadkan aktiviti luar bilik darjah sekiranya bacaan IPU meningkat.
“Perhatian khusus juga perlu diberikan kepada murid berisiko tinggi atau mempunyai masalah kesihatan,” katanya.
Selain itu, ibu bapa dan penjaga disarankan supaya sentiasa merujuk pengumuman rasmi JPWPP serta sekolah masing-masing bagi mendapatkan maklumat yang sah dan terkini.
JPWPP menegaskan, keselamatan dan kesihatan warga sekolah kekal menjadi keutamaan dalam menghadapi situasi jerebu semasa.-UTUSAN











