Sekolah di Sentul, Keramat dibuka semula esok

Sekolah di Sentul, Keramat dibuka semula esok

Semua institusi pendidikan di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sentul dan PPD Keramat dibuka semula seperti biasa esok.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua institusi pendidikan di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sentul dan PPD Keramat dibuka semula seperti biasa esok, susulan penurunan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan itu.

Namun, institusi pendidikan di bawah PPD Bangsar Pudu kekal ditutup kerana kualiti udara masih berada pada tahap tidak sihat.

Menurut Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL), keputusan membuka semula sekolah di Sentul dan Keramat dibuat berikutan bacaan IPU yang menunjukkan corak penurunan selama tiga hari berturut-turut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, bacaan terakhir di Stesen CA15W Batu Muda setakat pukul 2 petang tadi mencatatkan IPU 84 iaitu pada paras sederhana.

“Sehubungan itu, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR) serta arahan bekerja dari rumah (BDR) bagi kawasan ini ditamatkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

JPWPKL berkata, bagi PPD Bangsar Pudu pula, bacaan IPU terakhir di Stesen CA16W Cheras setakat pukul 2 petang mencatatkan 152 iaitu pada tahap tidak sihat.

Justeru, pelaksanaan PdPR serta arahan BDR bagi guru dan anggota kumpulan pelaksana (AKP) di PPD berkenaan diteruskan sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

JPWPKL berkata, pihaknya akan terus memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa dan bersedia mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan perkembangan kualiti udara.

“Ibu bapa dan penjaga diminta terus peka terhadap perkembangan semasa serta mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan kesihatan anak-anak terpelihara.

“Keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga pendidikan sentiasa menjadi keutamaan JPWPKL,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini