KUALA LUMPUR: Tawaran pekerjaan bergaji tinggi di luar negara masih memperdaya pencari kerja, sekali gus menuntut usaha lebih menyeluruh bagi membendung kegiatan berkenaan.
Pengerusi Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) Pahang, Daniel Khoo berkata, orang ramai tidak seharusnya mudah mempercayai tawaran pekerjaan yang menjanjikan pendapatan lumayan tanpa terlebih dahulu menyemak latar belakang majikan, lokasi tempat kerja dan kesahihan kontrak ditawarkan.
Katanya, kes seumpama itu masih berlaku dan orang ramai perlu lebih berwaspada, khususnya apabila tawaran pekerjaan dengan gaji yang dikatakan tidak masuk akal.
“Orang ramai jangan tidak terburu-buru menerima tawaran atau pergi bekerja di luar negara tanpa terlebih dahulu mengesahkan identiti majikan, lokasi tempat kerja serta syarat kontrak. Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan seseorang terperangkap dalam situasi berbahaya dan mengancam keselamatan diri,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut mengingatkan pencari kerja supaya berwaspada terhadap kontrak yang mengenakan penalti terlalu tinggi jika pekerja mahu berhenti, selain sebarang tindakan menyekat komunikasi atau merampas telefon bimbit dan dokumen peribadi.
Kebimbangan itu timbul susulan satu kes membabitkan seorang lelaki warga Malaysia berusia 25 tahun yang dipercayai terperangkap selepas menerima tawaran bekerja sebagai kakitangan khidmat pelanggan di luar negara.
Menurut keluarganya, lelaki itu dipercayai dikurung dan dipukul, manakala pihak tertentu didakwa meminta bayaran AS$40,000 (kira-kira RM163,400) sebagai syarat untuk membebaskannya.
Keluarga mangsa mendakwa lelaki berkenaan sebelum ini menerima tawaran daripada seorang kenalan yang ditemuinya ketika menghadiri pameran kereta di Auto City, Pulau Pinang.
Kenalan itu dikatakan menawarkan pekerjaan dengan gaji lumayan serta memaklumkan bahawa tugas berkenaan hanya memerlukan lelaki itu berurusan dengan pelanggan di pejabat.
Bagaimanapun, selepas tiba di negara berkenaan, lelaki itu didakwa berdepan keadaan berbeza daripada yang dijanjikan, termasuk terikat dengan penalti kontrak yang tinggi sekiranya mahu berhenti kerja.
Keluarganya kemudian menyerahkan rekod perbualan WhatsApp, video pendek dan laporan polis kepada Daniel bagi mendapatkan bantuan serta perhatian terhadap nasib lelaki terbabit.
Sehingga kini, lokasi sebenar lelaki itu, identiti pihak yang didakwa terlibat serta keadaan keselamatannya masih belum dapat disahkan secara bebas.
Daniel berkata, pencari kerja perlu mengambil langkah berjaga-jaga sebelum berlepas ke luar negara, termasuk berkongsi maklumat perjalanan dan butiran majikan dengan ahli keluarga serta memastikan mereka mempunyai saluran komunikasi yang selamat.
Orang ramai yang memerlukan bantuan berkaitan kes seumpama itu boleh menghubungi Cawangan Pahang MCCC menerusi talian 0 14-994 6697.











