Terjun wanita perlukan pelan peralihan baharu

Terjun wanita perlukan pelan peralihan baharu

Pandelela Rinong melakukan terjunan semasa mengambil bahagian dalam Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Tokyo, Jepun, baru-baru ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kegagalan skuad terjun Malaysia meraih sebarang pingat individu pada Sukan Asia Aichi-Nagoya perlu menjadi titik penilaian buat pengarah teknikal Akuatik Malaysia (MAS), Yeoh Ken Nee, khususnya dalam merangka hala tuju skuad wanita yang masih bergelut menyaingi kuasa besar Asia.

Lebih membimbangkan, Malaysia kini berdepan persoalan mengenai kesinambungan prestasi apabila penerjun berpengalaman seperti Datuk Pandelela Rinong masih belum mampu memberikan impak yang diharapkan, sedangkan pelapis wanita perlu dipersiapkan lebih pantas untuk mengambil alih tanggungjawab di pentas antarabangsa.

Pada Sukan Asia baru-baru ini, Pandelela dan Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj berdepan permulaan sukar dalam acara platform 10 meter (m) seirama sebelum kedua-duanya gagal menembusi kelompok pemenang pingat dalam acara individu, sekali gus memperlihatkan cabaran yang masih perlu ditangani skuad wanita negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ken Nee mengakui prestasi kedua-dua penerjun itu belum mencapai tahap yang diharapkan, selain menegaskan bahawa standard acara platform wanita sangat tinggi dan menuntut peningkatan dari segi konsistensi serta pelaksanaan terjunan.

Beliau berkata, pasukan perlu terus memperbaiki konsistensi dan pelaksanaan terjunan, selain melihat acara seirama sebagai peluang untuk bersaing merebut pingat sekiranya atlet mampu mengurangkan kesilapan ketika melakukan terjunan.

“Bagi Eilisha dan Pandelela, mereka menghadapi sedikit kesukaran pada permulaan acara seirama. Dalam acara individu, mereka juga sudah memberikan yang terbaik, tetapi standard platform wanita sangat tinggi, terutama pada tahap pertandingan seperti ini.

“Secara keseluruhan, saya percaya kita mempunyai peluang dalam acara seirama. Apabila penerjun dapat melakukan terjunan secara konsisten dengan kesilapan minimum, kita mampu bersaing dan mencabar kedudukan pingat,” kata Ken Nee kepada Utusan Malaysia.

Namun, persoalan lebih besar ialah bagaimana Malaysia mahu memperkukuh kedalaman skuad wanita supaya peluang meraih pingat tidak terlalu bergantung kepada beberapa penerjun yang sudah lama berada dalam program kebangsaan, sedangkan pembangunan pelapis memerlukan perancangan jangka panjang.

Ong Ker Ying memberikan petanda positif apabila meraih gangsa bersama Lee Yiat Qing dalam acara papan anjal 3m seirama selepas pulih daripada kecederaan dan mencatat prestasi terbaik peribadinya, tetapi kejayaan itu belum cukup untuk menutup kelemahan Malaysia dalam acara individu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini