Perlis, Tashkent mahu perluas kerjasama pelancongan, pertanian

Perlis, Tashkent mahu perluas kerjasama pelancongan, pertanian

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail diraikan dalam Majlis Santapan Malam oleh Zoyir Mirzayev di pusat peranginan pergunungan bertaraf dunia, Amirsoy Mountain Resort, yang terletak kira-kira 80km dari pusat bandar Tashkent, semalam. - IHSAN ISTANA ARAU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TASHKENT: Perlis dan Wilayah Tashkent, Uzbekistan, berpotensi memperluas kerjasama strategik dalam sektor pelancongan dan pertanian menerusi perkongsian kepakaran serta pemanfaatan tarikan dan sumber ekonomi kedua-dua kawasan berkenaan.

Gabenor Wilayah Tashkent, Zoyir Mirzayev menyifatkan hubungan baik yang terjalin dengan

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan juga Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sebagai asas penting untuk terus memperkukuh hubungan dan kerjasama antara kedua-dua pihak.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam sektor pertanian, kedua-dua pihak sudah mula meneroka potensi penanaman kenaf, termasuk kemungkinan memperluaskan lagi projek berkenaan di Tashkenr.

Usaha itu mencerminkan perkembangan positif perbincangan terdahulu dalam mengenal pasti bidang pertanian yang berpotensi dikembangkan melalui kerjasama strategik.

Selain itu, pertukaran pandangan turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh sektor pelancongan dengan memanfaatkan tarikan pelancongan, pengalaman serta kelebihan masing-masing bagi membuka lebih banyak peluang kerjasama antara Perlis dengan Wilayah Tashkent.

Perkara tersebut dikongsikan oleh Zoyir Mirzayev dalam Majlis Santapan Malam yang dihoskan beliau untuk meraikan Tuanku Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil di pusat peranginan pergunungan bertaraf dunia, Amirsoy Mountain Resort, yang terletak kira-kira 80km dari pusat bandar Tashkent sebelum baginda berangkat pulang ke tanah air.

Beliau meraikan baginda berdua di villa yang sama dengan yang dikunjungi oleh Presiden Belarus (Aleksandr Lukashenko) dan Presiden Kyrgyzstan (Sadyr Japarov) sebelum ini.

Turut berangkat ialah anakanda puteri kedua Baginda berdua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Hadir sama, Duta Besar Malaysia ke Republik Uzbekistan, Rafeedah Abdul Aziz dan Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Pertemuan itu mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk terus memperkukuh hubungan sedia ada, di samping meneroka peluang kerjasama baru yang mampu merancakkan pembangunan pelancongan dan pertanian serta memperluas hubungan antara Perlis dengan Uzbekistan.

Sebagai rekod, Zoyir Mirzayev pernah mengadakan lawatan kerja ke negeri Perlis pada April tahun lalu bagi mengadap Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang turut dihadiri sama oleh Tuanku Raja Muda Perlis di Istana Arau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini