KWAP rancang pelaburan sehingga RM1 bilion dalam sektor semikonduktor

KWAP rancang pelaburan sehingga RM1 bilion dalam sektor semikonduktor

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) merancang untuk memperuntukkan sehingga RM1 bilion dalam sektor semikonduktor bagi memperkukuh keupayaan industri tempatan dan meningkatkan daya saing negara.

Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Jay Khairil Jeremy Abdullah berkata, keutamaan pihaknya adalah melaburkan dana persaraan secara berhemat untuk menjana pulangan jangka panjang yang mampan.

“Melalui penyaluran modal secara strategik dalam negara, kami berhasrat untuk menyokong pembangunan syarikat tempatan, memperkasa sektor-sektor utama serta menggalakkan penyertaan modal swasta.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Selain pelaburan, kami turut menyumbang kepada usaha kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui pelaksanaan kadar gaji minimum yang disemak semula.

“Usaha ini membolehkan KWAP memainkan peranan penting dalam pembangunan negara, di samping terus melaksanakan tanggungjawab kami sebagai pelabur institusi jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pelaburan dalam sektor semikonduktor akan memberi tumpuan kepada peluang di sepanjang rantaian nilai bagi memperkukuh keupayaan dan daya saing industri tempatan.

“Selain itu, KWAP merancang menyalurkan RM1.5 bilion melalui Dana Pemacu bagi memperkukuh keupayaan pengurusan dana tempatan, menarik penyertaan modal swasta dan memperluas akses pembiayaan kepada syarikat Malaysia pada peringkat pertumbuhan.

“Sebanyak RM1 bilion pula dirancang melalui Dana Iklim⁺ bagi pelaburan yang menyokong peralihan tenaga negara, manakala RM200 juta melalui Dana Perintis untuk merancakkan pembangunan syarikat pemula niaga serta inovasi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, KWAP merancang menyalurkan RM750 juta melalui Projek Vista Kampus bagi membangunkan kemudahan penginapan pelajar di universiti awam dan swasta tempatan terpilih.

“Kerajaan bersama KWAP turut akan mewujudkan Dana UniVC bernilai RM50 juta bagi menyokong pengkomersialan hasil penyelidikan universiti serta menarik lebih banyak modal swasta untuk pembangunan inovasi tempatan,” katanya.

Mengenai kebajikan pesara, beliau berkata, KWAP menyambut baik kenaikan kadar pencen minimum bulanan daripada RM1,000 kepada RM1,350 yang akan memanfaatkan hampir 59,000 pesara dan penerima pencen terbitan.

“Belanjawan 2027 turut menyediakan bantuan kewangan khas RM750 kepada pesara kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini