WASHINGTON: Taufan Isaias, taufan Atlantik pertama bagi musim 2026, dijangka menguat kepada kategori dua ketika menghampiri pantai utara Teluk Mexico di Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat.
Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) memaklumkan, taufan itu kini membawa angin berkelajuan 129 kilometer sejam dengan tekanan minimum 975 milibar.
Musim taufan Atlantik tahun ini agak tenang berikutan fenomena El Nino yang kuat.
Taufan pertama musim ini terbentuk pada tarikh paling lewat sejak 8 Oktober 1905, sebelum penggunaan satelit pada 1960-an membolehkan lebih banyak taufan yang tidak melanda daratan dikesan.
Isaias melanda daratan pada petang Jumaat waktu tempatan, dengan hujan antara 75 hingga 150 milimeter diramalkan di sepanjang pantai Teluk Mexico.
Sesetengah kawasan dijangka menerima hujan sehingga 250 milimeter, sekali gus meningkatkan risiko banjir kilat dan banjir sungai setempat.
NOAA turut memberi amaran mengenai peningkatan risiko lonjakan air laut yang boleh mengancam nyawa di beberapa kawasan pantai utara Teluk Mexico.
Angin kencang bertaraf taufan yang berpotensi menyebabkan kerosakan turut dijangka melanda sebahagian kawasan Florida Panhandle, selatan Alabama dan Mississippi.
Amaran taufan dikeluarkan, manakala penduduk diminta bersedia menghadapi gangguan bekalan elektrik berpanjangan serta mematuhi sebarang arahan pemindahan yang dikeluarkan.
Di Zimbabwe, bencana diisytiharkan di wilayah Masvingo di tenggara negara itu pada Selasa selepas ribut hujan batu yang teruk menyebabkan kerosakan meluas terhadap kediaman dan infrastruktur penting.
Penilaian awal mendapati bumbung 8,500 rumah diterbangkan, manakala 15,300 penduduk lagi melaporkan tingkap kediaman mereka pecah. Keadaan itu menyebabkan ramai penduduk terdedah kepada cuaca buruk ketika musim hujan mula melanda.
Infrastruktur bekalan elektrik negara itu turut mengalami kerosakan teruk, sekali gus menjejaskan sistem saliran dan pembetungan serta menimbulkan kebimbangan terhadap kesihatan awam.
Sementara itu, di Australia, puting beliung jarang berlaku melanda bandar Ulladulla, kira-kira 230 kilometer di selatan Sydney, pada 3 Oktober.
Australia biasanya mengalami kira-kira 50 kejadian puting beliung setiap tahun. Puting beliung yang melanda Ulladulla itu merosakkan beberapa premis dan menyebabkan pokok tumbang.- AGENSI











