Gencatan senjata Gaza hanya wujud atas kertas

Gencatan senjata Gaza hanya wujud atas kertas

ISRAEL menyerang Gaza sehingga hampir kesemua bangunan musnah sejak Oktober 2023. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Lebih 100 pertubuhan kemanusiaan dan hak asasi manusia mendakwa gencatan senjata di Gaza ‘hanya wujud di atas kertas’ susulan serangan berterusan Israel serta sekatan terhadap bantuan kemanusiaan dan usaha pembinaan semula, setahun selepas perjanjian itu dimeterai.

Dalam kenyataan bersama semalam, pertubuhan berkenaan berkata lebih 1,400 rakyat Palestin, termasuk sekurang-kurangnya 324 kanak-kanak, terbunuh akibat serangan, tembakan dan operasi ketenteraan Israel sepanjang tahun lalu.

Ketua Eksekutif Save the Children, Inger Ashing, berkata gencatan senjata tidak membawa makna sekiranya kanak-kanak terus terbunuh dan keluarga masih tidak berupaya membina semula kehidupan mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sejak gencatan senjata diumumkan, hampir seorang kanak-kanak terbunuh setiap hari,” katanya.

Menurut kenyataan itu, tentera Israel turut mengalihkan apa yang dikenali sebagai Garisan Kuning lebih jauh ke dalam Gaza, melepasi garisan pengunduran yang ditetapkan dalam perjanjian berkenaan.

Perkembangan itu menyebabkan rakyat Palestin terpaksa berada di kawasan yang semakin sesak.

Kenyataan itu turut mendedahkan hampir dua juta penduduk masih memerlukan tempat perlindungan, manakala lebih 80 peratus struktur bangunan di Gaza mengalami kerosakan.

Menjelang musim sejuk, keluarga di Gaza terpaksa memilih antara berlindung di bangunan yang tidak selamat dengan tinggal di khemah yang terdedah kepada cuaca sejuk, angin kencang dan banjir.

Menurut pertubuhan berkenaan, sebuah bangunan yang rosak runtuh di Bandar Gaza pada September lalu, mengorbankan 21 orang termasuk 12 kanak-kanak.

Setiausaha Agung Majlis Pelarian Norway, Jan Egeland, memberi amaran sekatan Israel terhadap peralatan dan bahan binaan terus menghalang usaha pemulihan.

Menurut kenyataan itu, tiada satu pun daripada 36 hospital di Gaza beroperasi pada kapasiti penuh, manakala bekalan ubat-ubatan, peralatan perubatan dan bahan api masih berada pada tahap kritikal.

Lebih 18,500 pesakit, termasuk sekurang-kurangnya 4,000 kanak-kanak, memerlukan pemindahan perubatan, dengan lebih 1,000 pesakit dilaporkan meninggal dunia ketika menunggu giliran.

Sementara itu, seramai 1.4 juta penduduk berdepan tahap kelaparan kritikal atau lebih buruk sehingga akhir tahun ini.

Pertubuhan berkenaan menggesa kerajaan di seluruh dunia supaya menghentikan pembunuhan, memastikan akses tanpa halangan kepada bantuan kemanusiaan serta menyokong usaha pembinaan semula dan menegakkan akauntabiliti.

“Pihak yang bertanggungjawab tidak boleh terlepas daripada tindakan hanya kerana segala-galanya tertimbus di bawah runtuhan,” kata Setiausaha Agung Amnesty International, Agnes Callamard.- ANADOLU

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini