PETALING JAYA: Harga tiket wayang tidak akan mengalami sebarang penurunan tahun hadapan walaupun kerajaan mengumumkan pengecualian penuh duti hiburan di Wilayah Persekutuan menerusi Belanjawan 2027, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib menjelaskan, langkah pengecualian duti hiburan bertujuan memberi pulangan lebih besar kepada penerbit filem tempatan bagi menjamin kelangsungan industri seni tanah air.
“Berdasarkan maklum balas pihak pawagam, kemungkinan besar harga tiket tidak akan diturunkan. Bagaimanapun, keuntungan daripada pengecualian cukai itu akan dikongsi bersama produser tempatan.
“Inilah yang paling penting kerana ia membolehkan produser mendapat imbuhan atau pulangan yang lebih baik berbanding sebelum ini. Kita mahu hasil kutipan tiket itu benar-benar membantu penggiat seni kita.
“Mengenai pembahagian kutipan tiket, biasanya ia mengikut minggu atau perjanjian komersial antara panggung dan penerbit. Contohnya minggu pertama 50-50, minggu seterusnya mungkin 45-55 atau 40-60 mengikut minggu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, pada Jumaat.
Azmir mengulas mengenai pembentangan Belanjawan 2027 yang memperuntukkan lebih RM130 juta bagi memperkasa industri kreatif, termasuk insentif cukai di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Mengulas lanjut, Azmir berkata, kejayaan industri perfileman yang mencatatkan peningkatan jumlah penonton sejak dua tahun lalu membuktikan pasaran tempatan kembali rancak, namun produser masih terbeban dengan pelbagai potongan kos sebelum memperoleh keuntungan bersih.
Oleh itu, Azmir berharap inisiatif yang dimulakan di Wilayah Persekutuan ini dapat dicontohi oleh kerajaan negeri lain bagi membantu merancakkan lagi ekosistem ekonomi kreatif di seluruh negara.
“Wilayah Persekutuan kini menjadi contoh dan penggerak utama.
“Kami akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan-kerajaan negeri lain agar mereka turut mempertimbangkan langkah serupa bagi menyokong pengeluaran filem tempatan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Azmir tidak menafikan peranan pawagam bukan sahaja sebagai nadi utama perfileman sekali gus memacu ekonomi di pusat beli-belah.
“Kebanyakan pusat beli-belah memerlukan pawagam kerana penonton yang pergi tengok wayang, mereka juga akan membayar parkir, makan minum, dan berbelanja di sana. Inilah yang kita panggil sebagai penjana ekonomi setempat.
“Kita mahu jadikan pawagam sebagai satu tempat untuk keluarga. Kandungan di pawagam telah ditapis dan selamat,” katanya.
Terdahulu, penggiat seni menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai peruntukan RM130 juta untuk merancakkan industri kreatif. -UTUSAN











