KUALA TERENGGANU: Peningkatan peruntukan Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT) kepada RM270 juta dalam Belanjawan 2027 membuka peluang lebih besar kepada Terengganu untuk memperkukuh pemuliharaan biodiversiti dan merancakkan sektor ekopelancongan negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, peruntukan itu diharap dapat menyokong usaha memperkasa produk pelancongan berasaskan alam semula jadi termasuk Setiu Wetlands, Tasik Kenyir, Pulau Tenggol, Pulau Bidong dan Air Terjun Sekayu.
Beliau berkata, usaha berkenaan penting bagi memastikan khazanah alam negeri terus terpulihara, selain membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada komuniti setempat menerusi pembangunan ekopelancongan yang lestari.
“Keseimbangan antara pemuliharaan alam sekitar dengan pembangunan pelancongan perlu terus diberikan perhatian supaya keindahan dan biodiversiti Terengganu dapat dinikmati oleh generasi akan datang,” katanya di sini.
Razali berharap sebahagian daripada peruntukan RM935 juta bagi Kempen Tahun Melawat Malaysia 2027 dapat dimanfaatkan untuk menyediakan geran galakan bagi penganjuran acara kebudayaan mesra Muslim dan pelancongan patuh syariah sempena Tahun Melawat Terengganu.
Katanya, Terengganu mempunyai kekuatan tersendiri dalam pelancongan Islam, seni budaya dan warisan Melayu yang boleh diketengahkan bagi menarik lebih ramai pelancong tempatan serta antarabangsa.
“Pelancongan mesra Muslim bukan sekadar pilihan, tetapi peluang besar untuk Malaysia menonjol di peringkat antarabangsa. Terengganu bersedia menjadi antara peneraju dalam usaha ini,” katanya.
Ends.











