PETALING JAYA: Skuad wanita Bawah 17 Tahun (B-17) negara meneruskan rentak positif memburu slot ke Piala Asia B-17 tahun depan selepas menewaskan Iraq 4-0, semalam.
Kemenangan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang itu cukup bermakna buah skuad kendalian Takayoshi Ishihara yang sebelum ini menang 1-0 ke atas Syria dalam aksi pertama.
Menurut Ishihara, kemenangan itu lebih daripada sekadar tiga mata dan ia mampu beri motivasi tambahan untuk menentang India, malam esok.
“Saya gembira dengan prestasi semua pemain. Sepatutnya kami mampu mencipta lebih banyak peluang dan jaringkan lebih banyak gol dalam aksi menentang Iraq.
“Prestasi kami agak baik, namun sejujurnya kami mahu menjaringkan lebih banyak gol. Tetapi kemenangan ini adalah cukup penting buat kami sebelum hadapi perlawanan akan datang, ” katanya.
Dalam aksi itu, jaringan skuad muda negara dihasilkan oleh Aisyah Nur Iman Mohd Fuad, Qaseh Riana Dafira Mohd Rafiuddin, Lim You dan Aisha Lynn Faris Mohamad Faris.
Sementara itu, You yang dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan mengakui kejayaan ini tidak hanya berkisar tiga mata sebaliknya mampu dijadikan pemangkin untuk cuba kalahkan India pada perlawanan terakhir Kumpulan E.
“Saya fikir kami bekerjasama dengan sangat baik, bekerja keras untuk dapatkan kemenangan ini. Semua jaringan adalah hasil kerjasama berpasukan.
“Prestasi kami agak cemerlang, sejujurnya, kami mahu menjaringkan lebih banyak gol namun sudah pasti kemenangan ini cukup penting buat kami sebelum hadapi perlawanan seterusnya, ” katanya. – AGENSI
KAPSYEN
LIM YOU











