KUALA LUMPUR: Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) akan melabur sebanyak RM2 bilion untuk memperkasa syarikat bumiputera.
Memberikan contoh, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) dan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) akan membantu syarikat bumiputera menuju penyenaraian awam dan memperkukuh pemilikan hartanah strategik.
“Dana Ciptawan RM250 juta diwujudkan oleh Khazanah dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) bagi menyokong pertumbuhan syarikat pertengahan bumiputera,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata, kerajaan juga akan membangunkan taman solar berpusat dengan pelaburan RM1.5 bilion untuk memberi peluang kepada syarikat bumiputera pembinaan, kejuruteraan dan penyelenggaraan.
“Melalui projek solar LSS6, 150 megawatt dikhususkan kepada syarikat bumiputera bagi menyokong mereka dalam industri tenaga bersih.
“Program 10 Juara Bumiputera diteruskan dengan peruntukan RM40 juta bagi membangunkan 15 syarikat berpotensi menjelang tahun 2027,” katanya. – UTUSAN











