Pampasan pekerja diunjur kekal stabil pada kadar 6.8 peratus

Pampasan pekerja diunjur kekal stabil pada kadar 6.8 peratus

PENINGKATAN gaji yang berterusan akan dipacu oleh pembaharuan institusi dan kawal selia pasaran buruh, perluasan rangka kerja penetapan gaji berasaskan produktiviti serta inisiatif penyelarasan antara penawaran dan permintaan buruh yang lebih baik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERTUMBUHAN pampasan pekerja (PP) dijangka kekal stabil pada kadar 6.8 peratus pada 2027, disokong peningkatan gaji yang berterusan menerusi pembaharuan institusi dan kawal selia pasaran buruh.

Menurut Tinjauan Ekonomi 2027, peningkatan gaji yang berterusan akan dipacu oleh pembaharuan institusi dan kawal selia pasaran buruh, perluasan rangka kerja penetapan gaji berasaskan produktiviti serta inisiatif penyelarasan antara penawaran dan permintaan buruh yang lebih baik.”

“Semakan berkala rangka kerja gaji kehidupan wajar di bawah GEAR-uP yang bertujuan mengurangkan tekanan kos sara hidup dalam kalangan pekerja syarikat berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dijangka dapat menjana limpahan positif terhadap tahap gaji.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Langkah itu turut dijangka mendorong sektor swasta menawarkan gaji lebih tinggi kepada pekerja,” katanya.

Dari sudut permintaan, Tahun Melawat Malaysia 2026 dan 2027 (VM2026 2027) dijangka terus memacu momentum pertumbuhan industri berkaitan pelancongan, khususnya perdagangan runcit, makanan dan minuman, penginapan, penyimpanan dan pengangkutan serta aktiviti perkhidmatan sokongan.

“Perkembangan itu sekali gus memperluas peluang pekerjaan dan prospek pendapatan, seterusnya menyokong peningkatan bahagian pendapatan buruh kepada 34.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Perkembangan tersebut dapat menyokong peningkatan bahagian pendapatan buruh kepada 34.2 peratus sekali gus meletakkan Malaysia kekal pada landasan untuk mencapai sasaran jangka masa panjang PP sebanyak 40 peratus daripada KDNK pada 2030,” katanya.

Sementara itu, lebihan kendalian kasar (LKK) diunjur meningkat 5.2 peratus dan menyumbang 62.1 peratus kepada KDNK pada 2027.

Menurut tinjauan itu, integrasi strategik Malaysia dalam rantaian nilai global, disokong permintaan domestik yang berdaya tahan, pelaburan berterusan dalam infrastruktur digital dan permintaan kukuh terhadap sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang dipacu kecerdasan buatan (AI), dijangka mendorong pertumbuhan pendapatan perniagaan.

“Bagaimanapun, margin keuntungan korporat bagi sektor berorientasikan eksport tertentu mungkin berdepan tekanan susulan peningkatan kos input domestik, ketidaktentuan keadaan perdagangan global dan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

“Sementara itu, pendapatan campuran dijangka meningkat 8.4 peratus dan menyumbang 16.3 peratus daripada KDNK pada 2027.

“Peningkatan ini akan disokong oleh pembaharuan institusi di bawah Akta 872 yang menyediakan rangka kerja pampasan yang adil, perjanjian perkhidmatan yang telus serta perlindungan sosial mandatori bagi individu bekerja sendiri berasaskan platform dan bukan berasaskan platform.

“Usaha mempercepat pemformalan pekerjaan gig menerusi rangka kerja perundangan itu dijangka meningkatkan daya tahan pasaran buruh serta memperkukuh pekerjaan sendiri sebagai sumber pendapatan utama isi rumah yang berdaya maju,” katanya.

Dalam pada itu, pendapatan daripada cukai tolak subsidi ke atas pengeluaran dan import dijangka meningkat 16.5 peratus, didorong usaha berterusan untuk menambah baik pematuhan percukaian serta memperketat penguatkuasaan bagi mencapai matlamat disiplin fiskal yang tegas.

“Sebaliknya, perbelanjaan bagi subsidi dan insentif dijangka berkurang 7.5 peratus selaras dengan komitmen Kerajaan untuk terus melaksanakan penyasaran subsidi bagi mengurangkan ketirisan fiskal.

“Justeru, bahagian pendapatan daripada cukai bersih ke atas pengeluaran dan import diunjur menyumbang 3.8 peratus daripada KDNK pada 2027,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini