Akhlak anak bermula di rumah

Akhlak anak bermula di rumah

PEMBENTUKAN akhlak dan jati diri anak-anak mesti bermula dari rumah dengan bimbingan ibu bapa serta sokongan masyarakat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini, berulang lagi siri kejadian memilukan melibatkan pelajar sekolah.

Kenyataan ini sememangnya amat pahit untuk ditelan, ditambah lagi kerana sela waktu antara masa berlakunya kes-kes ini sangat rapat.

Hal ini sudah tentu meresahkan kita semua memandangkan sekolah sepatutnya menjadi tempat yang selamat untuk menimba ilmu pengetahuan. Peredaran zaman bukanlah alasan hilangnya adab dan akhlak dalam menghargai ilmu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Maka, mengapa sudah sejauh ini kita terpesong daripada nilai peradaban dan ketamadunan bangsa? Pada kala peluang bersekolah terbuka luas di negara kita, ada pula pihak yang tidak menghargai rezeki di depan mata.

Di banyak negara, masih ramai kanak-kanak dan remaja yang hanya boleh mengimpikan segala kemudahan pendidikan seperti apa yang sedang kita nikmati pada hari ini. Kita perlu lihat kekurangan ini dari kaca mata mereka, dan menghargai apa yang dimiliki selama ini.

Perkara yang berlaku memperlihatkan betapa parahnya krisis moral dan emosi melanda generasi muda hari ini. Justeru, kita tidak dapat bayangkan apa lagi yang terpaksa dihadapi jika keadaan ini dibiarkan berlarutan tanpa adanya tindakan tuntas dari semua pihak bagi menanganinya.

Melontarkan rasa marah dan menyalahkan pihak lain semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah ini. Boleh sahaja menuding jari kepada sesiapa sahaja yang kita mahu tetapi jika setakat itu sahajalah tindakannya, sudah pastilah krisis ini bukan hanya akan berlarutan bahkan menjadi semakin parah.

Memandangkan kes-kes ini berlaku di sekolah, maka secara automatik ramai yang beranggapan sudah tentu punca masalah ini bermula dari sekolah juga. Sedangkan dalam banyak keadaan, kes berlaku akibat masalah dari rumah yang dibawa masuk ke sekolah.

Oleh kerana itu, pengawalan yang ketat serta undang-undang tegas di sekolah dan dalam kawasan asrama hanya akan dapat mengawal keadaan tetapi tidak akan dapat menyelesaikan punca sebenar masalah ini.

Namun begitu, pelajar-pelajar terbabit masih berpotensi melakukan kesalahan jenayah di luar sekolah. Persekitaran negatif akan mempengaruhi pelajar lain yang hidup dalam komuniti sama, sehingga ada terikut-ikut dan turut terlibat dalam kegiatan menyalahi undang-undang.

Tidak kurang pula warga yang masih mendakwa pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) sebagai asbab bertambahnya krisis moral dalam kalangan pelajar.

Mereka berhujah tiadanya peperiksaan besar menyebabkan pelajar bosan, lantas terjebak dalam kegiatan seperti membuli, membunuh serta lain-lain perbuatan yang melampaui batas undang-undang berpunca dari luar sekolah.

Jelas sekali, kita lebih pantas mencari kesalahan daripada berusaha menyelesaikan punca sebenar masalah. Jika benar ketiadaan peperiksaan menyebabkan kanak-kanak mempunyai lebih banyak masa lapang untuk melakukan keganasan, maka persoalan yang perlu diberi perhatian ialah sikap dan akhlak mereka sehingga tergamak melakukan perbuatan sedemikian.

Peperiksaan hanya melambatkan detik letupan sebuah bom jangka, bukannya melupuskan bom itu.

Hari ini ramai meraikan persepsi generasi muda zaman ini tidak lagi memiliki kekentalan jiwa seperti generasi sebelumnya. Maka, sejak kecil ramai kanak-kanak dibenarkan berbuat sesuka hati dengan alasan supaya perkembangan emosi mereka tidak terganggu.

Apabila anak-anak ini mula bersekolah, maka timbullah pelbagai masalah untuk menyesuaikan diri dengan peraturan sekolah kerana selama ini mereka terlalu dimanjakan.

Lebih parah, guru-guru pula akan dipersalahkan jika mereka cuba mendisiplinkan pelajar atau apabila timbul masalah di sekolah.

Oleh itu kita berhadapan dengan satu generasi yang percaya kepada persepsi mereka lemah. Akibatnya, mereka mempunyai masalah keyakinan diri dan mudah berputus asa kerana tidak mempunyai semangat juang yang kuat.

Apabila pengaruh buruk turut membentuk pemikiran mereka sehingga menganggap keganasan sebagai sesuatu yang wajar, menyebabkan mereka cenderung bertindak sedemikian apabila gagal mencapai matlamat. Keganasan akhirnya menjadi jalan mudah untuk menutup ketidakyakinan diri dan mengelak daripada berhadapan kelemahan sendiri.

Masalah ini bukan tanggungjawab sekolah dan tidak boleh ditangani oleh sekolah. Pembentukan insan mesti bermula dari rumah, bukannya melalui peperiksaan dan disiplin di sekolah.

Jika ia dilakukan oleh sekolah, maka mereka hanya akan menjadi baik di dalam pagar sekolah selagi bergelar murid.

 

DIDIKAN BERMULA DARI RUMAH

Sebaliknya, anak-anak kita mesti disiram dengan nilai yang baik sejak awal usia. Mereka mesti membesar dalam persekitaran yang menyokong kelakuan baik dan menolak segala perkara mungkar. Mereka perlu diberi pertumbuhan daya tahan diri yang kuat serta pembentukan jati diri yang kental agar tidak mudah alah pada pengaruh luar.

Pengaruh media sosial dan internet, termasuk kandungan yang dibawa daripada budaya Barat, turut membentuk cara anak muda melihat diri dan kehidupan. Ada antara mereka yang semakin hilang keyakinan diri, lalu didorong untuk mengutamakan kepentingan peribadi berbanding tanggungjawab terhadap keluarga dan masyarakat.

Keadaan ini boleh menyuburkan budaya ananiah, iaitu sikap mementingkan diri sendiri sehingga sanggup menghalalkan perlakuan buruk demi memenuhi kehendak peribadi.

Sokongan serta tunjuk ajar daripada ibu bapa ialah tonggak kepada proses pembinaan insan. Tumpuan kepada pencapaian akademik bukanlah resipi yang baik untuk membina insan yang berwibawa. Sebaliknya, kita perlukan matlamat yang lebih holistik untuk anak-anak kita.

Prasarana pendidikan yang canggih dan moden tidak akan membentuk insan berjiwa manusiawi dan baik pekertinya. Ketaasuban manusia mengejar kejayaan material tanpa diimbangi dengan didikan rohani bakal melahirkan generasi yang sanggup melakukan apa-apa sahaja demi kekayaan wang.

Maka buatlah seribu satu ceramah dan kursus berkenaan rasuah, pengurusan keluarga dan sifat kepimpinan, namun sekiranya jiwa itu tidak tertanam dari awal, mereka hanya akan menutup telinga apabila ditegur. –UTUSAN

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini