GENEVA: Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Volker Turk, berkata, beliau amat terkejut dengan serangan mengerikan pada Khamis terhadap dua bas di Ukraine yang mengorbankan 30 orang.
Kedua-dua bas itu musnah dalam serangan di bandar Kramatorsk, berhampiran barisan hadapan, dalam salah satu serangan paling dahsyat sejak beberapa minggu lalu.
Mayat dan serpihan bertaburan di sepanjang jalan.
“Saya amat terkejut dengan gelombang serangan yang mengorbankan orang awam di seluruh Ukraine sejak empat hari lalu, termasuk serangan mengerikan hari ini yang menyasarkan dua bas awam,” kata Volker Turk dalam satu kenyataan.
“Skala dan cara serangan ini dilakukan mengorbankan dan mencederakan orang ketika menaiki bas, berada di rumah serta di tempat kerja di pelbagai kawasan negara itu, amat dikesali,” tambahnya.
Beliau berkata, sekurang-kurangnya 85 orang awam dilaporkan terbunuh manakala 346 lagi cedera dalam serangan Russia sejak Isnin.
Banyak kawasan di Ukraine turut bergelap susulan serangan bertubi-tubi jarak jauh terhadap pencawang elektrik dan loji penjanaan tenaga, tambah Turk.
“Ukraine sudah pun berdepan gangguan bekalan elektrik kecemasan dan berjadual, sebelum suhu sejuk serta tempoh siang yang lebih pendek meningkatkan permintaan terhadap elektrik,” katanya.
Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia itu turut menyatakan kebimbangan mendalam terhadap laporan serangan Ukraine yang mengorbankan dan mencederakan orang awam di wilayah yang diduduki serta di Russia.
“Orang awam dilindungi sepenuhnya di bawah undang-undang perang dan tidak boleh diserang sama sekali.
“Selain itu, pihak yang berkonflik mesti sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga untuk melindungi penduduk awam.
“Dakwaan pelanggaran undang-undang mesti disiasat dan mereka yang didapati bertanggungjawab mesti dipertanggungjawabkan.
“Serangan yang disengajakan terhadap orang awam boleh dianggap sebagai jenayah perang,” tambahnya. – AFP











