Fazley belum kahwini Vida, ambil kira banyak perkara - Utusan Malaysia

Fazley belum kahwini Vida, ambil kira banyak perkara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob, 48, menolak dakwaan kononnya dia sudah berkahwin dengan usahawan, Datuk Seri Vida (DSV) atau Hasmiza Othman.

Pemilik nama penuh Ahmad Fadzli Yaakob juga mengesahkan yang dia dan DSV belum mengikat tali pertunangan seperti didakwa.

“Alhamdulillah. Saya suka bila ada kata-kata manis dan doa-doa yang positif. Setiap kata-kata itu adalah satu doa. Jadi kalau kata kami dah kahwin, jawapannya belum. Bertunang pun belum.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Adakah kami bakal disatukan? Itu memang perjalanan dan doa kami dan harapan, insya-Allah,” katanya ketika ditemui sidang media dan pelancaran Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2026 X Cuckootopia di Ballroom, Hyatt Regency Kuala Lumpur, di sini, malam tadi.

Fazley memaklumkan dia mempunyai hasrat untuk segera berkahwin dengan DSV bagaimanapun mengambil kira banyak perkara sebelum disatukan.

“Kalau ikutkan, dua tiga minggu sebelum ini memang nak kahwin. Hati itu memang dah sampai, tapi apabila dua keluarga bakal disatukan, kita ada proses-proses untuk menjaga hati, menyatukan keluarga, ada ‘paperwork’ yang nak kena buat.

“Sebab yang berkahwin ini bukan teruna dan dara, tetapi duda dan janda. Jadi proses itu mengambil masa sedikit dan tunggu dan doakan yang terbaik,” katanya.

Katanya lagi dia juga berhasrat mematuhi adat Melayu dengan melalui proses merisik, bertunang dan seterusnya bernikah sebelum mengumumkan perkara itu kepada masyarakat.

“Sebab saya dan DSV memang menjaga adat kerana kita ada orang-orang tua dalam keluarga. Orang tua sebelah keluarga saya, orang tua sebelah keluarga DSV.

“Jadi adat itu kita akan patuhi. Bermakna kita akan melalui proses merisik, bertunang, nikah dan sebagainya dan menghebahkan pada umum. Jadi nantikan, doakan supaya apa yang kami hasratkan, dua keluarga ini dapat disatukan secara halal, insya-Allah,” katanya.

Ujarnya, Keputusan mendirikan rumah tangga juga dibuat selepas mengambil kira pandangan keluarga serta anak-anak masing-masing.

“Apabila masing-masing ada keluarga dan anak-anak, kita berbincang secara telus dan pada saya, adat Melayu itu perlu kita patuhi. Jadi tidak boleh melangkau apa-apa adat.

“Tak boleh tunang sebelum merisik, tak boleh nikah ataupun sebelum buat pengumuman dan sebagainya. Mesti ada langkah-langkah yang kita hormati.

“Tapi saya cakap ramai orang bertanya mengapa belum ada apa-apa paparan, pada saya begini. Kita beri laluan pada adinda-adinda saya. Selepas itu, insya-Allah mungkin kami pula yang akan melancarkan perjalanan dan melangsungkan apa yang perlu dilangsungkan, insya-Allah,” katanya.

Dalam pada itu, Fazley berkata dia bakal mengeluarkan lagu duet bersama DSV yang akan dirakamkan dengan kerjasama bersama komposer, Ajai.

“Sebenarnya tak nak cerita lagi, tapi ada dalam proses. Sebab saya rasa ramai nampak saya pergi ke studio Ajai. Jadi akan ada buah tangan untuk peminat yang tahu bahawa saya menyanyi, DSV pun menyanyi.

“Ia sesuatu yang agak unik kerana Ajai akan menyatukan saya dan DSV yang hadir dengan genre berbeza. Nanti akan ada sesuatu yang unik daripada kami insya-Allah,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini