SINGAPURA: Kerjasama kukuh antara negara ASEAN dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) penting dalam membantu rantau ini kekal terbuka, berdaya tahan dan berpandangan ke hadapan, kata Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong.
Beliau berkata perkara itu antara yang dibincangkan bersama Pengarah Urusan IMF Kristalina Georgieva semasa lawatannya ke Singapura menjelang Mesyuarat Tahunan IMF-Bank Dunia di Bangkok dari 12 hingga 18 Oktober.
Wong berkata beliau dan Georgieva bertukar-tukar pandangan mengenai tinjauan ekonomi global serta cabaran yang dihadapi ekonomi dalam persekitaran yang semakin tidak menentu.
“Secara khusus, kami membincangkan bagaimana negara boleh memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baharu muncul yang lain untuk meningkatkan produktiviti, mewujudkan peluang bagi perniagaan dan pekerja serta menyokong pertumbuhan mampan.
“Kami turut membincangkan perkembangan serantau dan keutamaan Singapura ketika kami membuat persediaan untuk mempengerusikan ASEAN pada 2027,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Perdana Menteri itu menekankan bahawa Singapura mempunyai hubungan kerjasama yang telah lama terjalin dengan IMF.
“Saya berharap dapat meneruskan kerjasama erat kita dalam menyokong sistem monetari dan kewangan antarabangsa yang stabil,” katanya. – BERNAMA











