BATU PAHAT: Golongan ibu bapa mengakui semakin bimbang dengan pelbagai insiden keganasan melibatkan pelajar di kawasan sekolah, khususnya selepas insiden terbaharu yang berlaku di Yong Peng, di sini Sabtu lalu.
Seorang pesara, Ibrahim Salleh, 62, berkata, dia kesal kerana insiden sedemikian kembali berulang sehingga menyaksikan beberapa insiden melibatkan kematian pelajar berlaku dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurutnya, pihak berwajib seharusnya mengambil tindakan segera bagi mengelakkan perkara sama berulang selepas kejadian pertama dahulu.
“Dalam sistem pendidikan dan masyarakat ada banyak pihak bertanggungjawab tetapi mengapa sehingga sekarang tiada satu penyelesaian kepada masalah ini. Mengapa insiden serupa masih lagi berulang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Ibrahim, kejadian sedemikian menyaksikan golongan ibu bapa menjadi bimbang untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah, sedangkan sekolah seharusnya menjadi tempat selamat buat generasi muda.
Sabtu lalu, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun, Allahyarham Irene Sofiya Mohd. Khairool Faisal ditemukan maut dipercayai dibunuh rakan sekelasnya di dalam dewan sebuah sekolah di Yong Peng, di sini.
Sementara itu, seorang peniaga, Reza Ithnain, 55, pula berkata, pihaknya berharap langkah keselamatan di kawasan persekolahan dapat ditambah baik termasuklah dengan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV).
“Saya sangat berharap ada tindakan diambil pihak kerajaan, mungkin tambah bilangan pengawal keselamatan atau memasang CCTV.” kaatanya.
Seorang lagi penduduk setempat, Syafikah Fuat, 24, berkata, dia bersedia membayar yuran yang lebih sekiranya langkah itu dapat membantu meningkatkan tahap keselamatan di sekolah.
“Pemasangan CCTV memang sangat penting kerana banyak kawasan sekolah yang terlindung daripada orang ramai. Pemasangan kamera mungkin dapat halang pelajar atau pihak lain melakukan perkara yang salah.
“Sekiranya perlu bayar yuran lebih, saya setuju dan bersedia. Saya yakin ramai pihak sependapat dengan saya kerana ini demi keselamatan anak-anak kita,” katanya.-UTUSAN.











