KUALA LUMPUR: Bukan sahaja masa kuliah, malah waktu bersama keluarga turut terpaksa dikorbankan Dina Hadfina Mohd. Umarul Hisyam, 23, demi meneruskan perjalanan sebagai penghafaz al-Quran dan membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa.
Pelajar dan alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu berkata, ada ketika dia terpaksa mengambil cuti daripada kuliah sehingga sebulan apabila menyertai persiapan dan pertandingan hafazan, terutama selepas dipilih mewakili Malaysia.
“Pengorbanan paling besar bagi saya adalah dari segi masa. Bila terlibat dengan pertandingan dan dipilih mewakili Malaysia, saya perlu ambil cuti daripada kuliah dan ada masa sampai sebulan tidak dapat masuk kelas.
“Tetapi saya rasa masa yang digunakan bersama al-Quran itu sangat bermakna kerana pengorbanan itu yang membawa saya sampai ke tahap ini dan dapat membawa nama Malaysia,” katanya ketika ditemui sempena Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-66 di Dewan Merdeka, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.
Berasal dari Bangi, Selangor, minat Dina terhadap hafazan bermula sejak Tahun Tiga ketika bersekolah di sekolah kebangsaan dan sekolah agama sebelum dia mula menghafaz al-Quran di Maahad Tahfiz Orchid Khufas, Kajang pada usia 10 tahun dan khatam dua tahun kemudian.
Selepas itu, dia meneruskan persekolahan harian bagi menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun minat terhadap hafazan tidak pernah terhenti sehingga membawanya ke pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Menurut Dina, komitmen terhadap hafazan turut menyebabkan masa bersama keluarga semakin terbatas, namun sokongan ibu dan bapanya serta mudirah yang membimbingnya sejak usia 12 tahun menjadi antara kekuatan untuk terus aktif dalam bidang berkenaan.
Dina berkata, perjalanan itu turut menuntut kesabaran kerana hafazan perlu diulang secara berterusan bagi memastikan setiap ayat kekal dalam ingatan.
“Al-Quran ini kalam Allah dan proses menghafaznya memerlukan kesabaran yang tinggi. Walaupun kita sudah berusaha dan ulang hafazan berkali-kali, kita tetap perlu sabar supaya ayat yang dihafaz itu kekal dalam ingatan,” katanya.
Sebelum melangkah ke pentas antarabangsa, Dina perlu bersaing dengan peserta dari 14 negeri dalam pertandingan hafazan peringkat kebangsaan sebelum muncul johan dan dipilih mewakili Malaysia.
Dia kemudian muncul johan kategori Hafazan 1 hingga 30 Juzuk (Perempuan) pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 2026 ketika mewakili Melaka, selepas turut muncul johan kategori Hafazan 1 hingga 30 Juzuk dan Tafsir di peringkat Negeri Sembilan pada 2025 ketika mewakili UPSI.
Pengalaman pertama berada di pentas antarabangsa disifatkannya sebagai sesuatu yang menakjubkan, malah peluang itu merupakan impian yang disimpan sejak kira-kira 10 tahun lalu.
Kini, penyertaannya dalam MTHQA Ke-66 yang berlangsung dari 6 hingga 10 Oktober ini menjadi satu lagi pengalaman penting buat Dina untuk menimba pengalaman bersama peserta dari negara lain serta memperkukuh penguasaan hafazannya.
Malah, dia turut menerima jemputan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk mewakili Malaysia dalam pertandingan hafazan di Mesir pada Disember ini, sekali gus membuka ruang untuknya meneruskan perjalanan dalam bidang hafazan di pentas antarabangsa. – UTUSAN










