Tarif CRESS lebih rendah buka peluang dalam tenaga boleh baharu

Tarif CRESS lebih rendah buka peluang dalam tenaga boleh baharu

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tarif Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) sebanyak 44 hingga 46 sen setiap kilowatt-jam (kWj) kini menjadikan tenaga hijau enam hingga 10 peratus lebih murah berbanding tenaga konvensional, kata CGS International Securities Malaysia Sdn. Bhd.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penganalisisnya, Dharmini Thuraisingam berkata, perkembangan itu dijangka membuka permintaan baharu sektor komersial dan perindustrian (C&I) berskala besar sebanyak tujuh hingga lapan gigawatt (GW), selain permintaan daripada pusat data (DC).

Katanya, ia berpotensi meluaskan pasaran CRESS yang sebelum ini banyak dipacu permintaan DC kepada syarikat multinasional (MNC) dan syarikat tersenarai yang mempunyai sasaran alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“Pakej Pemerkasaan sementara Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) yang mengurangkan Caj Sambungan Sistem (SAC) sebanyak 30 peratus kepada kadar tetap 14 sen/kWj untuk tempoh 10 tahun bagi projek yang mencapai tarikh operasi komersial (COD) menjelang akhir 2028, meningkatkan daya tarikan ekonomi penggunaan tenaga boleh baharu (TBB).

“Pengurangan SAC itu dijangka menurunkan tarif keseluruhan CRESS sebanyak 11 hingga 12 peratus kepada 44 hingga 46 sen/kWj.

“Ini menjadikan CRESS antara dua hingga tujuh sen/kWj lebih murah berbanding elektrik konvensional bagi pengguna voltan sederhana dan tinggi (MV/HV), malah sebelum mengambil kira Pelarasan Kos Bahan Api (AFA),” katanya dalam nota penyelidikan.

Beliau berkata, pengurangan SAC turut berpotensi membuka tambahan permintaan elektrik yang boleh disasarkan sebanyak tujuh hingga lapan GW, bersamaan kira-kira 45 peratus daripada asas permintaan sedia ada.

Jelasnya, bersama 8.4 GW perjanjian bekalan elektrik (ESA) pusat data yang telah dimuktamadkan, jumlah beban yang boleh disasarkan meningkat kepada 15 hingga 16 GW, hampir dua kali ganda berbanding anggaran sebelum ini.

“Dengan andaian penggunaan TBB sebanyak 20 hingga 30 peratus dan faktor kapasiti 22 peratus, ini diterjemahkan kepada saiz pasaran CRESS teori sebanyak 15 hingga 21 GWac, berbanding hanya 3.2 GW projek yang telah dimuktamadkan setakat ini.

“Pembangunan berskala ini juga berpotensi mengelakkan pelepasan 21 hingga 30 juta tan setara karbon dioksida (MtCO₂e) setahun,” ujarnya.

Bagaimanapun, Dharmini berkata, kapasiti yang boleh direalisasikan menjelang 2028 masih bergantung kepada keupayaan grid dan sumber projek.

Katanya, grid dianggarkan mampu menampung kapasiti CRESS sebanyak tiga hingga empat GWac dalam tempoh dipercepatkan itu.

“Justeru, kadar pelaksanaan akhirnya bergantung kepada seberapa pantas sumber projek dapat diselaraskan.

“Namun, kami melihat ruang pertumbuhan CRESS yang berterusan, dengan peningkatan permintaan berpotensi membuka peluang untuk SAC Pelan Kawal Selia Kelima (RP5) yang lebih rendah berbanding kadar awal 20 sen/kWj, manakala penetapan harga karbon kelak berpotensi terus menyokong penggunaan RE,” jelasnya.

Tambahnya, CGS International mengekalkan pandangan ‘overweight’ terhadap sektor utiliti Malaysia, dengan penggunaan CRESS yang lebih pantas sebagai pemangkin kepada pertumbuhan jangka panjang sektor berkenaan.

“Ia termasuk peluang pemilikan aset TBB yang menjana pendapatan berulang, potensi tender kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bernilai RM12 bilion hingga RM18 bilion dalam tempoh dua tahun akan datang serta peningkatan keperluan pelaburan penghantaran dan pembahagian (T&D).

“Pilihan utama ialah Tenaga Nasional Bhd, Malakoff Corporation Bhd dan YTL Power International Bhd, masing-masing disokong peranan dalam peningkatan permintaan elektrik, pembangunan kapasiti penjanaan dan TBB serta pertumbuhan pusat data,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini