Life Water ambil alih tanah bernilai RM15 juta di Sabah - Utusan Malaysia

Life Water ambil alih tanah bernilai RM15 juta di Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Life Water Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, Green Borneo Industries Sdn. Bhd. (GBI) bercadang membeli sebidang tanah, kompleks pejabat dan bengkel di Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), Sabah pada harga RM15 juta.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat berkata, GBI pada 7 Oktober 2026 memeterai perjanjian jual beli (SPA) dengan Kee Foh Haw Sdn. Bhd. bagi pengambilalihan hartanah berkenaan.

Katanya, pembelian hartanah berkeluasan kira-kira 1.21 hektar itu ditentukan berdasarkan prinsip ‘pembeli bersedia dan penjual bersedia’, dengan mengambil kira lokasi strategik hartanah serta nilai pasaran hartanah industri di kawasan sekitarnya.

“Pembelian itu akan dibiayai melalui gabungan dana yang dijana secara dalaman dan pinjaman bank. Pengambilalihan berkenaan bertujuan menampung pengembangan operasi perniagaannya, dengan hartanah tersebut terletak berhampiran kemudahan pengilangan GBI yang sedia ada di KKIP.

“Jarak yang dekat hartanah itu dengan operasi sedia ada GBI dijangka memudahkan kecekapan operasi serta menyediakan ruang tambahan bagi menampung pengembangan perniagaan Kumpulan pada masa hadapan,” katanya.

Bagaimanapun, syarikat itu berkata, terdapat risiko berkaitan hak milik hartanah kerana K.K.I.P. Sdn. Bhd. masih direkodkan sebagai pemilik berdaftar, manakala pindah milik kepada penjual masih belum disempurnakan.

Tambahnya, GBI telah memperoleh pengesahan bertulis daripada peguam cara penjual bahawa hak milik asal dan memorandum pindah milik yang boleh didaftarkan atas nama penjual berada dalam simpanan mereka.

Life Water berkata, cadangan pengambilalihan itu tidak dijangka memberi kesan material terhadap pendapatan dan pendapatan sesaham (EPS) disatukan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027.

“Ia juga tidak dijangka memberi kesan material terhadap aset bersih kumpulan, manakala kesan terhadap gearing bergantung kepada jumlah pinjaman bank yang digunakan.

“Cadangan itu tidak memerlukan kelulusan pemegang saham Life Water dan/atau mana-mana pihak berkuasa kawal selia,” jelasnya.
Tambahnya, nisbah peratusan tertinggi bagi transaksi itu ialah 7.19 peratus, berdasarkan penyata kewangan disatukan teraudit Life Water bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025.

Ujarnya, pengambilalihan itu dijangka dilakukan selepas pindah milik hartanah kepada GBI didaftarkan, baki jumlah pembelian diselesaikan dan milikan kosong diserahkan kepada GBI, tertakluk kepada pemenuhan syarat dalam SPA. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini