568 kes rasuah penjawat awam, trend membimbangkan

568 kes rasuah penjawat awam, trend membimbangkan

WAN Ahmad Dahlan Wan Abdul Aziz semasa ditemui pemberita selepas menyampaikan Syarahan Perdana Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam 2026 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Bachok, Kelantan. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Statistik tangkapan kes rasuah membabitkan pegawai awam menunjukkan trend peningkatan dengan jumlah tertinggi direkodkan pada 2024 iaitu sebanyak 568 kes, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap aspek integriti dan tadbir urus sektor awam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Dr. Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, keadaan itu memerlukan perhatian dan usaha berterusan bagi memperkukuh tata kelola dalam organisasi kerajaan.

 

Katanya, antara faktor yang dikenal pasti menyumbang kepada keadaan itu adalah penguatkuasaan undang-undang yang tidak konsisten dan kelemahan dalam prosedur perolehan.

 

“Selain itu, masih wujud mentaliti ‘pintu belakang’ serta amalan ‘Little Napoleon’ demi mengaut keuntungan peribadi.

 

“Statistik tangkapan kes rasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan pegawai awam menunjukkan peningkatan yang membimbangkan dengan kes tertinggi direkodkan pada 2024 iaitu sebanyak 568 kes,” katanya ketika menyampaikan Syarahan Perdana Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam 2026 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Bachok di sini hari ini.

 

Wan Ahmad Dahlan berkata, penglibatan segelintir penjawat awam dalam isu rasuah sangat membimbangkan dan memerlukan usaha berterusan untuk memantapkan tata kelola dalam organisasi kerajaan.

 

Katanya, perkara itu sejajar dengan hasrat Kerajaan Madani yang memberi penekanan khusus terhadap aspek tata kelola dan urus tadbir baik dalam pentadbiran negara.

 

“Keadaan ini amat membimbangkan. Inilah yang ditekankan oleh Kerajaan Madani yang mana kita perlu memperkemas lagi tata kelola dalam organisasi kita.

 

“Nasihat saya kepada seluruh penjawat awam, patuhilah tata kelola yang ditetapkan,” ujarnya.

 

Wan Ahmad Dahlan berkata, isu berkenaan mampu ditangani serta dikurangkan dari semasa ke semasa menerusi usaha berterusan dan komitmen pelbagai pihak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini