Libat urus MCMC, platform e-dagang perkukuh perlindungan pengguna

Libat urus MCMC, platform e-dagang perkukuh perlindungan pengguna

Sesi libat urus di antara penyedia platform e-dagang dan kementerian serta agensi berkaitan diadakan bagi menyelaras langkah memperkukuh perlindungan pengguna dan keselamatan ekosistem e-dagang negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengadakan sesi libat urus bersama penyedia platform e-dagang serta kementerian dan agensi berkaitan hari ini bagi menyelaras langkah memperkukuh perlindungan pengguna dan keselamatan ekosistem e-dagang negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sesi itu diadakan susulan kebimbangan awam berhubung aspek keselamatan pengguna serta pematuhan undang-undang dalam ekosistem e-dagang.

Ia juga selaras penekanan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil mengenai keperluan memperkukuh kawal selia menerusi kerjasama antara kementerian, agensi penguatkuasaan dan penyedia platform.

“Selain aspek keselamatan dan perlindungan pengguna, perbincangan turut memberi tumpuan kepada keperluan mewujudkan persekitaran perniagaan yang seimbang antara perniagaan dalam talian dengan premis fizikal,” kata MCMC dalam kenyataan hari ini.

MCMC berkata, perbincangan itu juga turut mengambil kira maklum balas perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta sektor peruncitan berhubung kesan perkembangan e-dagang terhadap perniagaan mereka termasuk implikasinya terhadap industri kurier.

Menurutnya, penyedia platform mempunyai tanggungjawab memperkukuh proses pengesahan identiti penjual serta mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan produk yang ditawarkan mematuhi keperluan undang-undang dan ketetapan agensi berkuasa berkaitan.

“Selain itu, platform juga perlu meningkatkan pemantauan dan penggunaan teknologi bagi mengesan serta mengambil tindakan pantas terhadap penyenaraian barangan terlarang, berbahaya atau tidak mematuhi undang-undang,” jelasnya.

MCMC berkata, usaha berkenaan bertujuan memenuhi keperluan mekanisme kerjasama yang lebih tersusun antara platform dan agensi kerajaan, selain memastikan siasatan serta tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan agensi berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing dan tertakluk kepada undang-undang yang terpakai.

“Langkah susulan yang praktikal” akan terus diselaraskan MCMC bersama kementerian, agensi kerajaan dan pihak industri bagi memperkukuh perlindungan pengguna, pematuhan undang-undang serta akauntabiliti platform.

Usaha itu penting bagi mewujudkan ekosistem e-dagang yang lebih selamat dan dipercayai.

Sesi libat urus berkenaan disertai wakil penyedia platform e-dagang, kementerian dan agensi kerajaan berkaitan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN