MADRID: Cristiano Ronaldo masih bersedia untuk menyarung jersi kebangsaan Portugal, biarpun berlaku ‘perang dingin’ dengan pengendali pasukan, Jorge Jesus ketika ini.
Pemain berusia 41 tahun itu mendakwa Jesus ‘mungkir janji’ mengenai peluang dan masa permainan dalam kempen Liga Negara-Negara, sekali gus membuatkannya kecewa.
Susulan insiden itu, Ronaldo memohon maaf kerana keputusannya meninggalkan kem Portugal dan mengakui bersedia menerima sebarang hukuman susulan tindakannya.
“Saya akan sentiasa bersedia, seperti yang saya lakukan sehingga hari ini, untuk beraksi dan menang bersama pasukan kebangsaan,” kata Ronaldo dalam satu kenyataan.
Jesus tidak menurunkan Ronaldo ketika Portugal menentang Norway dalam aksi Liga Negara-Negara dan perancangan berdepan Denmark juga tidak melibatkan penyerang itu.
“Saya memohon maaf kepada rakan sepasukan kerana meninggalkan kem. Walaupun kepercayaan saya terhadap jurulatih sudah runtuh, saya tidak sepatutnya berbuat demikian. Tanggungjawab itu adalah milik saya seorang,” katanya.
Ronaldo turut memohon maaf kepada penyokong Portugal, namun menegaskan, tindakannya berpunca daripada apa yang didakwanya sebagai janji Jesus yang tidak ditunaikan.
Menurut Ronaldo, Jesus mengemukakan pelan untuk jendela antarabangsa itu, termasuk menurunkannya dalam perlawanan pembukaan dan penutup di laman sendiri tetapi tidak dibawa ke Norway dan Denmark. – AGENSI/UTUSAN











