Khairy jumpa Duta EU bincang isu diskriminasi vaksin AstraZeneca - Utusan Malaysia

Khairy jumpa Duta EU bincang isu diskriminasi vaksin AstraZeneca

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar akan berbincang dengan Duta Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia, Michalis Rokas berhubung isu diskriminasi vaksin AstraZeneca.

Khairy Jamaluddin dalam sidang akhbar mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) hari ini berkata, beliau mahu penjelasan terperinci mengenai perkara itu.

“Tiada alasan untuk Agensi Perubatan Eropah (EMA) untuk mendiskriminasikan vaksin AstraZeneca biarpun ia dikeluarkan daripada fasiliti yang berbeza.

“Saya ingin menjelaskan bahawa semua fasiliti yang mengilangkan vaksin itu menggunakan formulasi sama, malah, semua fasiliti ini mengamalkan Amalan Pengilangan Baik (GMP),” katanya.

Justeru, katanya, tiada alasan untuk EU mendiskriminasikan antara satu fasiliti AstraZeneca-Oxford dengan fasiliti yang lain.

Khairy berkata, pihaknya juga akan mendapatkan penjelasan terperinci daripada EU membabitkan dasar imigresen kesatuan itu berhubung pemberian vaksin keluaran fasiliti yang tidak diiktiraf EMA ketika ini.

Dalam perkembangan sama, Khairy berkata, setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang pembatalan suntikan vaksin AstraZeneca daripada orang awam susulan isu diskriminasi berkenaan.

Sebelum ini, Agensi Perubatan Eropah (EMA) tidak mengiktiraf vaksin keluaran AstraZeneca-Oxford yang dikilangkan di Korea Selatan, Thailand dan Jepun.

Malaysia adalah antara negara yang menggunakan vaksin AstraZeneca daripada pengeluar SK Bioscience Korea Selatan dan Siam Bioscience Thailand.

Dalam pada itu, Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan telah menerima 586,700 dos vaksin AstraZeneca melalui perolehan kerajaan dan sejuta dos vaksin sama yang disumbangkan Jepun pada Jumaat lalu. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×