PETALING JAYA: Pertikaian berhubung Perjanjian Kolektif ke-20 dan Bantuan Perayaan antara Malayan Commercial Banks’ Association (MCBA) dengan National Union of Bank Employees (NUBE) kini dibawa ke Mahkamah Rayuan dan dijadualkan untuk dibicarakan pada 22 Mac 2027.
Sehubungan itu, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menyeru semua pihak memberikan ruang kepada proses kehakiman serta mengelakkan sebarang spekulasi atau ulasan yang boleh menimbulkan kekeliruan berhubung kes berkenaan.
KESUMA berkata, pihaknya sentiasa memberi perhatian serius terhadap perkembangan serta perbincangan awam mengenai perkara itu, khususnya yang membabitkan kebajikan pekerja dan keharmonian hubungan perusahaan.
“Sehubungan dengan itu, KESUMA kekal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang dan menyeru semua pihak memberikan ruang kepada proses kehakiman serta mengelakkan spekulasi atau ulasan yang boleh menimbulkan kekeliruan berhubung kes ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, KESUMA berkata, pendekatan tripartit membabitkan kerajaan, majikan dan kesatuan sekerja kekal menjadi asas dalam memelihara keharmonian hubungan perusahaan.
Justeru, katanya, KESUMA melalui Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara bagi memastikan ruang rundingan antara pihak terbabit kekal terbuka, konstruktif dan saling menghormati.
“KESUMA akan terus memastikan kepentingan pekerja dan majikan diberi perhatian secara seimbang,” katanya.
KESUMA berkata, pendekatan tripartit antara kerajaan, majikan dan kesatuan sekerja penting bagi memastikan hubungan perusahaan negara terus stabil dan harmoni.
Menurutnya, KESUMA sentiasa bersedia memudah cara bagi membantu kedua-dua pihak mencari penyelesaian yang munasabah, selaras dengan tanggungjawab kementerian dalam hal ehwal perburuhan dan perhubungan perusahaan.
“Matlamat kementerian sentiasa konsisten untuk membantu mewujudkan penyelesaian yang menjaga kebajikan pekerja, menghormati kepentingan majikan dan memelihara keharmonian perusahaan.
“KESUMA akan terus melaksanakan tanggungjawab secara profesional, adil dan berimbang demi memastikan hubungan antara pekerja, kesatuan sekerja dan majikan kekal kukuh,” katanya. – UTUSAN











