PETALING JAYA: Kuasa merotan murid wajar diperluas kepada lebih ramai guru bagi membolehkan tindakan disiplin dilaksanakan dengan lebih berkesan, namun hukuman itu perlu tertakluk kepada garis panduan jelas bagi mengelakkan kecederaan.
Tinjauan di platform Threads mendapati sebahagian orang ramai mempersoalkan keberkesanan tindakan disiplin sekiranya hanya pihak tertentu diberi kuasa melaksanakan hukuman rotan, sedangkan guru berdepan murid yang melakukan kesalahan setiap hari.
Pengguna nursyuhada berpandangan guru perlu diberi ruang untuk mengambil tindakan disiplin terhadap murid, termasuk hukuman rotan, bagi mendidik mereka memahami kesalahan.
“Rotan bukan untuk menyakiti, tetapi sebagai peringatan supaya murid faham kesalahan dan akibat daripada perbuatan mereka.
Pada masa sama, pelaksanaannya perlu mengikut garis panduan yang jelas,” katanya menerusi media sosial.
Utusan Malaysia melaporkan, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sebelum ini menjelaskan hukuman rotan tidak pernah dimansuhkan, namun pelaksanaannya tertakluk kepada peraturan tertentu dan hanya pihak yang diberi kuasa boleh melaksanakan hukuman berkenaan terhadap murid lelaki bagi kesalahan tertentu.
Persoalan itu turut timbul susulan dakwaan sesetengah pengguna yang mendakwa menerima maklumat berbeza daripada pihak sekolah mengenai sama ada hukuman rotan dibenarkan atau sebaliknya.
Pengguna therealsyanz mempersoalkan perkara itu selepas mendakwa guru disiplin yang ditemuinya memberitahu hukuman rotan tidak boleh dilaksanakan.
“Di media dikatakan hukuman rotan tidak dimansuhkan, tetapi ada guru yang mengatakan ia tidak dibenarkan. Jadi, yang mana satu sebenarnya betul?” katanya.
Dalam pada itu, sebahagian pengguna mengaitkan keengganan guru mengambil tindakan lebih tegas dengan kebimbangan terhadap aduan ibu bapa, termasuk laporan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) dan tindakan undang-undang.
Pengguna Ameeraazreen berpandangan guru yang melaksanakan hukuman disiplin mengikut peraturan perlu diberikan perlindungan yang jelas supaya tidak takut menjalankan tanggungjawab mereka.
“Guru tidak sepatutnya terdedah kepada tindakan undang-undang atau serangan ibu bapa hanya kerana menjalankan hukuman disiplin yang sah untuk tujuan pendidikan,” katanya.
Pandangan itu turut disokong pengguna lain yang mahu guru diberi ruang mendidik murid dengan tegas.
Manakala, pengguna luqmanyusop yang mendakwa mempunyai pengalaman sembilan tahun sebagai penjaga juvana dan berpandangan hukuman rotan dapat membantu murid memahami akibat daripada perbuatan mereka.
Bagaimanapun, sebahagian orang ramai menyokong hukuman rotan sebagai kaedah mendidik, manakala sebahagian lain mahu pendekatan disiplin alternatif diperkasa. – UTUSAN











