JOHOR BAHRU: Persatuan Suluk Bajau Malaysia (PSBM) berhasrat untuk terus memelihara adat resam, warisan dan kebudayaan dalam kalangan generasi muda suku kaum itu di Semenanjung negara ini.
Pengerusinya, Mohamad Basaran berkata, penubuhan persatuan itu sejak 2018 dengan seramai 500 ahli ketika itu antara lain bertujuan menjadi platform penyatuan generasi baharu keturunan Suluk dan Bajau di Sabah.
Katanya, persatuan kini semakin berkembang seiring dengan pertambahan migrasi suku kaum itu ke Semenanjung termasuk di Pasir Gudang, di sini sejak lebih 20 tahun lalu.
“Generasi baharu seakan terasing dari asal usul mereka, malah kami sendiri jika pulang ke kampung halaman juga sudah terasa seperti pelancong.
“Sebab itu, persatuan ini ditubuhkan supaya anak-anak muda mengenali antara satu sama lain, sekali gus memastikan identiti dan hubungan silaturahim sesama kami tidak terputus selepas ketiadaan generasi tua,” katanya selepas Majlis Perasmian PSBM di Puncak Kasih, Pasir Gudang, di sini malam tadi.
Tambah Mohamad, pelancaran tersebut diadakan di Pasir Gudang kerana kawasan berkenaan menempatkan seramai lebih 25,000 penduduk daripada masyarakat Suluk dan Bajau yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur.
“Selain di Johor, ada juga beberapa negeri lain yang menjadi pilihan suku kaum kami untuk membina hidup baru. PSBM merancang membuka cawangan pertama persatuan di Kuantan, Pahang berikutan pertambahan signifikan jumlah ahli komuniti ini.
“Ketika ini terdapat kira-kira 1,500 ahli suku kaum Suluk dan Bajau yang bermastautin di negeri berkenaan,” katanya. – UTUSAN











