Nepal tamatkan operasi cari mangsa banjir

Nepal tamatkan operasi cari mangsa banjir

KERJA-kerja mencari dan menyelamat ditingkatkan selepas banjir kilat melanda Pusat Trishuli di daerah Nuwakot, Nepal.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KATHMANDU: Nepal menamatkan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang masih hilang selepas banjir besar pada Ogos lalu meragut sekurang-kurangnya 1,455 nyawa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pegawai berkata, sekurang-kurangnya 5,285 orang masih hilang selepas banjir pada 26 Ogos yang berpunca dari kawasan sempadan Nepal dengan wilayah Tibet, China.

Seramai 13,795 orang berjaya diselamatkan dalam bencana berkenaan.

“Kami beralih daripada fasa mencari dan menyelamat kepada fasa pencarian dan pemulihan,” kata Ketua Pusat Operasi Kecemasan Kebangsaan, Phanindra Paudel, kepada Reuters.

Beliau berkata pihak berkuasa sedang mempertimbangkan proses untuk mengisytiharkan individu yang masih hilang sebagai meninggal dunia mengikut undang-undang.

Langkah itu diperlukan bagi membolehkan keluarga dan waris menyelesaikan urusan insurans, perbankan serta hal berkaitan undang-undang.

“Kami sedang memulakan proses sewajarnya bagi menyelesaikan urusan perundangan yang diperlukan,” katanya.

Ketua Pihak Berkuasa Pengurangan Risiko Bencana dan Pengurusan Bencana Kebangsaan, Dharam Raj Uprety, berkata operasi mencari mayat tidak lagi akan dijalankan secara aktif.

Sebaliknya, pihak berkuasa akan mengambil dan menyimpan jasad, harta benda atau barangan berharga yang ditemui sepanjang proses pemulihan.

Bagaimanapun, katanya, operasi menyelamat kecemasan masih akan dilaksanakan sekiranya diperlukan.

Banjir itu turut memusnahkan 12 projek hidroelektrik, selain merosakkan jalan raya, jambatan, kawasan pertanian dan penempatan penduduk.

Pihak berkuasa berkata, hampir AS$5 bilion (RM21 bilion) diperlukan bagi usaha pemulihan awal dan membina semula kehidupan ribuan penduduk yang kehilangan tempat tinggal akibat banjir berkenaan.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN