PETALING JAYA: Pelakon, Che Puan Sarimah Ibrahim menasihatkan orang ramai supaya tidak terlalu keras terhadap diri sendiri dalam menghadapi pelbagai cabaran kehidupan.
Menurut Sarimah, seseorang individu adalah satu-satunya insan yang lebih mengenali sisi tertentu diri mereka berbanding orang terdekat termasuklah keluarga dan pasangan.
“Sebenarnya kan, tiada seorang pun yang kenal setiap versi diri kita. Mak ayah kita tidak akan sempat tengok kita sampai tua. Pasangan kita tidak pernah kenal kita masa kecil.
“Anak-anak kita tidak akan begitu ingat pun versi muda kita. Malah, kawan paling rapat pun hanya tahu bab-bab tertentu dalam hidup kita,” katanya menerusi sebuah hantaran di Threads.
Dalam perkongsian sama, Sarimah berpandangan hanya diri sendiri yang tahu berapa kali seseorang itu pernah berada di fasa titik terendah sebelum bertatih untuk bangkit kembali.
“Tapi kita? Kita ada untuk semuanya. Setiap patah hati. Setiap penolakan. Setiap kesilapan. Setiap kali kita bangkit semula. Kita tahu berapa kali kita hampir berputus asa dan berapa kali kita memilih untuk bangun semula,” jelasnya.
Sarimah turut menasihatkan orang ramai supaya lebih menghargai diri sendiri meskipun perlu menelan segal pahit dan manis kehidupan yang dilalui.
“Jadi, jangan terlalu keras dengan diri sendiri, ya? Sebab satu-satunya orang yang dah lalui setiap satu bab dalam hidup kita adalah kita. Berbuat baiklah kepada diri sendiri. Kalau tidak, siapa lagi kan?” ujarnya.











