KUALA TERENGGANU : Perikatan Nasional (PN) masih menunggu maklum balas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berhubung penggunaan logo gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya telah mengemukakan surat kepada RoS bagi mendapatkan kepastian mengenai penggunaan logo PN pada pilihan raya berkenaan.
“Dalam surat kita yang terakhir kepada RoS, memang kita secara spesifik bertanya tentang penggunaan logo PN dalam Pilihan Raya di Melaka.
“Jadi, mungkin RoS juga akan tunggu tarikh pilihan raya. Kalau pilihan raya itu lambat lagi, mungkin keputusannya berbeza berbanding kalau pilihan raya sudah dekat. Kita tunggu jawapan daripada RoS dahulu kepada persoalan kita,” katanya selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Mengulas persiapan menghadapi PRN Melaka, Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas berkata, parti itu sudah bersedia dengan pelbagai program dan gerak kerja yang dilaksanakan lebih awal.
“Sebelum PRN Johor lagi, kita telah mengadakan pelbagai program termasuk menyertai program Pas di Melaka. Saya rasa semua parti pun sedang bersedia menunggu tarikh yang akan diumumkan oleh SPR nanti,” katanya.
Mengenai pembahagian kerusi pula, beliau berkata, istilah ‘beri kerusi’ perlu diperbetul kerana kerusi yang dipertanding bukan hak milik mana-mana parti.
Katanya, pembahagian kerusi perlu berdasarkan formula yang dipersetujui bersama termasuk mengambil kira status quo di peringkat negeri dan Persekutuan.
“Sebenarnya saya nak betulkan istilah, bukan beri kerusi kerana kerusi itu bukan milik sesiapa, tetapi kerusi yang dipertandingkan. Tidak ada mana-mana pihak yang boleh mendakwa kerusi itu milik mereka semata-mata. Jadi, kena ada formula dan bincang bagaimana,” katanya.
Menurutnya, jika formula status quo digunakan, kedudukan kerusi di peringkat negeri dan Parlimen perlu diambil kira dalam menentukan pembahagian kerusi.
“Kalau formula itu adalah status quo, perbincangan harus mengambil kira status quo di peringkat negeri dan status quo juga di peringkat Persekutuan atau kerusi-kerusi Parlimen. Barulah kita mempunyai formula yang tetap untuk diambil kira dalam perbincangan kerusi dengan mana-mana pihak,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, PN belum memutuskan bentuk kerjasama bagi menghadapi PRN Melaka dan menunggu perkembangan selepas pengumuman SPR.
“Kita tunggu selepas pengumuman daripada SPR dahulu. Saya tidak ingin membuat andaian sekarang ini. Selepas itu kita akan tentukan tarikh yang sesuai untuk dibuat pengumuman mengenai bagaimana bentuk kerjasama dan bagaimana yang akan dihadapi dalam pilihan raya ini,” katanya. – UTUSAN











