Blue Pelican, Muamalat Bullets rebut kejuaraan CSR Championship 2026

Blue Pelican, Muamalat Bullets rebut kejuaraan CSR Championship 2026

MUAMALAT Bullets menguasai perlawanan sejak awal ketika membelasah Ragbi PDRM 53-0, keputusan yang membawa mereka kembali ke pentas final buat kali keempat berturut-turut.-IHSAN PENGANJUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: MBSA Blue Pelican dan Muamalat Bullets akan berentap di pentas akhir CSR Championship 2026 selepas menamatkan saingan liga di kedudukan dua teratas pada aksi minggu ketiga di EV Arena Elmina.

Memuatkan artikel berkaitan…

Blue Pelican melangkah ke final selaku pendahulu liga selepas menewaskan ATM Vanguard 27-13, manakala Muamalat Bullets merampas tempat kedua hasil kemenangan besar 53-0 ke atas Ragbi PDRM.

Keputusan itu menyaksikan kedua-dua pasukan bakal membuat perhitungan dalam CSR Championship Final pada 17 Oktober ini bagi menentukan juara musim 2026.

Blue Pelican turun sebagai pasukan pilihan selepas melengkapkan kempen liga dengan rekod sempurna menerusi tiga kemenangan berturut-turut, sekali gus membuktikan konsistensi mereka sepanjang saingan.

Dalam perlawanan menentang ATM Vanguard, Blue Pelican mempamerkan aksi bertenaga untuk meraih kemenangan selain mengutip mata bonus hasil empat try.

Kemenangan itu mengukuhkan kedudukan mereka di tangga teratas liga dan menjadikan mereka satu-satunya pasukan yang menamatkan kempen tanpa sebarang kekalahan.

Sementara itu, Muamalat Bullets memastikan slot ke final menjadi milik mereka menerusi persembahan cemerlang ketika membelasah Ragbi PDRM.

Kemenangan dengan mata bonus itu membolehkan Bullets memintas ATM Vanguard untuk menduduki tempat kedua, sekali gus melengkapkan slot finalis CSR Championship 2026.

Fly-half Muamalat Bullets, Mohamad Faris Pead menjadi watak utama kemenangan apabila menyumbang 13 mata menerusi ketepatan sepakannya selain mengawal rentak permainan pasukan dengan baik.

Aksi cemerlang yang dipamerkan menyaksikan Faris dipilih sebagai Pemain Terbaik Perlawanan.

Kejayaan mara ke final turut membawa makna tersendiri buat Muamalat Bullets apabila mereka berjaya melangkah ke pentas penentuan juara buat kali keempat berturut-turut.

Sementara itu, ATM Vanguard dan Ragbi PDRM akan berentap dalam CSR Championship Bronze Clash bagi menentukan pemenang tempat ketiga.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN