PETALING JAYA: Keletihan selepas menghadiri perlumbaan Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia 2026 dan menyertai Kuala Lumpur Marathon sepanjang hujung minggu menyebabkan sebahagian orang ramai memilih untuk mengambil cuti hari ini.
Menerusi perkongsian di Threads, beberapa pengguna berkata mereka sudah membuat persediaan awal dengan memohon cuti selepas menjangkakan akan pulang lewat dan mengalami keletihan selepas menghadiri acara berkenaan.
Seorang pengguna, Eyfahanies berkata, dia sudah mengambil cuti lebih awal kerana menjangkakan akan pulang lewat, selain mengakui lebih terasa keletihan kali ini berbanding ketika menghadiri F1 pada 2017.
“Memang dah siap-siap ambil cuti sebab tahu akan barai dan balik lambat. Dulu-dulu pun sama macam ini, tetapi kali ini betul-betul terasa penat,” katanya.
Seorang lagi pengguna Syasyadina pula berkata dia tiba di rumah sekitar pukul 1 pagi sebelum mengambil keputusan mendapatkan cuti sakit (MC) kerana tidak lagi larat untuk bekerja, selain mengalami masalah pada bahagian lutut.
Katanya, kesesakan untuk pulang dan menunggu bas ulang-alik turut menghabiskan banyak tenaga selepas acara berkenaan.
Sementara itu, ramai turut mendakwa mengalami beberapa gejala termasuk demam, sesak nafas dan sakit tekak selepas menghadiri acara berkenaan.
Bagi KL Marathon pula, beberapa pengguna turut berkongsi sudah membuat persediaan lebih awal dengan mengambil cuti tahunan bagi memberi ruang untuk berehat selepas menyertai atau menghadiri acara berkenaan.
Seorang pengguna, Firdaus Razak berkata, dia sudah memohon cuti tahunan lebih awal kerana menjangkakan kakinya masih sakit selepas acara itu.
“Ambil AL sebb rasa kaki takkan baik sampai Rabu ini. Awal-awal dah mohon cuti AL untuk hari ini,” katanya.
Seorang lagi pengguna, alifffarhan turut berkongsi dia sudah memohon cuti tahunan kerana keadaan kakinya masih sakit dan tidak sesuai untuk bekerja.
Perlumbaan F1 kembali diadakan di Litar Antarabangsa Sepang dari 2 hingga 4 Oktober selepas sembilan tahun, manakala Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2026 berlangsung pada 3 dan 4 Oktober di sekitar ibu negara.-UTUSAN








