KUALA LUMPUR: Pernah tak terlintas difikiran jika kemudahan yang kita gunakan sehari-hari sebenarnya bukanlah semata-mata peruntukan kerajaan sebaliknya hasil amalan penyerahan harta orang lain bagi tujuan kebajikan dan kepentingan umum secara berterusan atau wakaf.
Secara umumnya, perkataan wakaf ini sinonim dengan tanah yang diserahkan untuk digunakan sebagai tanah perkuburan, pembinaan masjid dan lain-lain.
Namun, konsep wakaf sebenarnya sangat luas bahkan kemudahan kerusi roda, katil atau peralatan perubatan di hospital juga merupakan turut merangkumi dalam konsep wakaf bagi umat Islam.
Begitu juga ketika melangkah masuk ke masjid untuk menunaikan solat, membaca al-Quran atau menggunakan kemudahan pendidikan dan komuniti. Ada kemungkinan manfaat yang dinikmati itu wujud daripada sumbangan seseorang yang namanya mungkin tidak pernah dikenali.
Itulah antara keistimewaan wakaf. Pemberi mungkin tidak dikenali, namun manfaat daripada pemberian itu boleh terus dirasai oleh orang lain dalam tempoh yang panjang.
Konsep itu dapat dilihat melalui pelbagai projek wakaf yang sedang diusahakan melalui Wakaf Wilayah Persekutuan, merangkumi bidang keagamaan, pendidikan, kesihatan, kecemasan dan hartanah.
Antara projek yang memperlihatkan manfaat wakaf secara langsung kepada sektor kesihatan adalah pembelian peralatan perubatan dan kelengkapan fasiliti di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Ia menetapkan sasaran kutipan sebanyak RM1.98 juta, dengan RM1.15 juta sudah berjaya dikumpulkan hasil wakaf orang ramai.
Jumlah itu bermakna lebih separuh daripada keperluan projek berkenaan telah ditampung melalui sumbangan wakaf, manakala kira-kira RM836,599 lagi masih diperlukan untuk melengkapkan sasaran yang ditetapkan.
Lebih penting, kutipan berjumlah RM1.15 juta itu menggambarkan bahawa wakaf tidak semestinya terhad kepada pembangunan masjid atau institusi keagamaan, sebaliknya boleh digerakkan bagi memenuhi keperluan kemudahan kesihatan yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Manfaat harta wakaf juga tidak semestinya terhad kepada umat Islam sahaja. Bagi kemudahan yang bersifat umum seperti kesihatan dan pendidikan, manfaatnya boleh dinikmati oleh masyarakat secara lebih luas, termasuk bukan Islam, tertakluk kepada tujuan wakaf dan ketetapan yang berkuat kuasa.
Ini menunjukkan bahawa wakaf bukan sahaja menjadi satu bentuk ibadah malah berupaya menyumbang kepada kemudahan dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.
Dalam bidang pendidikan pula, terdapat Tabung Wakaf Pendidikan Wilayah Persekutuan dengan sasaran hampir RM9.84 juta yang menjadi projek rintis dengan keutamaannya kepada pelajar Kolej Profesional MAIWP (KPMAIWP) dan Universiti Antarabangsa MAIWP (UniMAIWP) yang layak untuk menerima komputer riba sebagai bantuan pembelajaran.
Jumlah terkumpul bagi projek itu ketika semakan hanyalah sekitar RM362,018 atau empat peratus daripada sasaran sebenar menjadikan masih terdapat lebih RM9.47 juta baki keperluan untuk dicapai.
Satu lagi projek yang wajar diberi perhatian adalah pembelian tanah bagi tujuan kegunaan pembangunan bangunan tambahan Sekolah Rendah Agama (SRA) Al-Bukhari, Segambut Dalam.
Tujuan utamanya adalah untuk memenuhi keperluan mendesak terhadap pendidikan agama dengan pembangunan pesat di kawasan sekitar.
Jumlah kutipan disasarkan adalah RM8.96 juta namun wakaf terkumpul hanyalah RM9,435 setakat ini menjadikan sasarannya masih jauh untuk dicapai.
Ini memperlihatkan bahawa wakaf boleh mengambil bentuk yang dekat dengan perubahan dalam dunia pendidikan, termasuk penyediaan kemudahan yang menyokong proses pembelajaran.
Skala projek pendidikan juga dapat dilihat menerusi pembangunan Kompleks Kecemerlangan Pendidikan Islam MAIWP Putrajaya yang mempunyai sasaran lebih RM105.88 juta.
Jumlah terkumpul bagi projek itu ketika semakan sekitar RM1.03 juta, menunjukkan masih terdapat baki lebih RM104.84 juta yang perlu dicapai.
Perkara ini membawa kita kembali kepada persoalan asas: berapa banyak yang perlu kita sumbangkan untuk menjadi sebahagian daripada usaha wakaf Jawapannya tidak semestinya memerlukan jumlah yang besar sebaliknya penyertaan wakaf boleh bermula dengan kadar serendah RM10.
Ingatlah hadis Nabi Muhammad SAW “Apabila mati seorang manusia, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah (wakaf), ilmu yang diambil manfaat dengannya, dan anak yang soleh mendoakan untuknya.” (Hadis Riwayat Muslim).
Amalan wakaf juga tidak sedikit pun mengakibatkan seseorang itu miskin malah mampu memberikan kelegaan dalam pemotongan cukai kerana di bawah Subseksyen 44(11D), Akta Cukai Pendapatan 1967, tertakluk kepada syarat dan kelulusan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Individu atau syarikat layak mendapat potongan cukai sehingga 10 peratus daripada jumah pendapatan keseluruhan, tertakluk kepada had yang ditetapkan namun wakaf perlu disalurkan kepada institusi atau pihak yang diluluskan.
Ia bukan rebat cukai tetapi pemotongan cukai.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai projek-projek Wakaf Wilayah Persekutuan dan membuat sumbangan menerusi laman rasmi wakafwilayah.com.my.
Hari ini mungkin kita menjadi penerima manfaat daripada wakaf seseorang yang tidak pernah kita kenali. Esok, orang lain pula mungkin mendapat manfaat daripada wakaf yang kita tinggalkan. – UTUSAN








