IPOH: Kira-kira 500 penduduk Orang Asli Kampung Makmur, Hulu Kinta, di sini kini hidup dalam kebimbangan susulan kemunculan seekor harimau berhampiran kampung mereka baru-baru ini.
Tok Batin Kampung Makmur, Jalani Rasid berkata, penduduk berharap pihak berkuasa menjalankan rondaan di sekitar kampung bagi memastikan keselamatan mereka, terutama ketika keluar bekerja, menghantar anak ke sekolah dan melakukan urusan harian.
Menurutnya, kejadian seorang penduduk terserempak dengan harimau itu menyebabkan penduduk semakin berjaga-jaga kerana mereka masih perlu menjalani rutin harian seperti biasa.
“Sejak seorang penduduk kampung ini terserempak dengan seekor harimau baru-baru ini, penduduk semakin berasa takut.
“Kami semua berjaga-jaga, terutama mereka yang berulang-alik bekerja di pekan Tanjung Rambutan atau bersekolah di luar kampung ini.
“Untuk meredakan kebimbangan, penduduk berharap pihak berkuasa membuat rondaan. Sekurang-kurangnya ada langkah berjaga-jaga yang diambil kerana kawasan ini memang sejak dahulu lagi sudah ditemukan jejak harimau,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jalani berkata, penduduk tidak mahu kejadian tidak diingini berlaku sebelum tindakan keselamatan diambil, apatah lagi kebanyakan mereka perlu keluar masuk kampung setiap hari.
Sementara itu, penduduk kampung, Rohani Padak, 42, berkata, ketakutan penduduk semakin meningkat selepas anak saudaranya berusia 18 tahun ternampak harimau berkenaan ketika bekerja sebagai pengawal keluar masuk lori di sebuah kawasan mengorek tanah di Hulu Kinta, Selasa lalu.
Menurutnya, sebelum ini penduduk menganggap cerita mengenai penemuan jejak harimau di kawasan berkenaan sebagai perkara biasa dan tidak terlalu membimbangkan.
“Kalau sebelum ini ada cerita mengenai jejak haiwan itu ditemukan di kawasan ini, kami anggap ia sekadar cerita untuk menakutkan penduduk.
“Tetapi sekarang ketakutan kami menjadi kenyataan apabila anak saudara saya sendiri ternampak haiwan itu.
“Harapan kami haiwan itu tidak masuk ke kampung. Kami juga berharap tidak terserempak dengan haiwan itu dan ia segera ditangkap,” katanya. – UTUSAN











