ALOR SETAR: Golongan muda semakin kurang berminat untuk meneruskan pekerjaan dalam sektor tanaman padi apabila peluang kerja lain termasuk sebagai pengawal keselamatan dilihat lebih menjanjikan pendapatan tetap dan terjamin setiap bulan.
Keadaan itu mencetuskan kebimbangan terhadap masa depan industri padi negara ini apabila generasi baharu dilihat tidak lagi menganggap sawah sebagai sumber pendapatan yang mampu menjamin kehidupan mereka.
Pengerusi Peladang Muda PPK MADA, Aswadil Khairi Che Omar berkata, antara faktor utama yang mendorong golongan muda meninggalkan sektor itu ialah pendapatan tidak menentu, kos pengeluaran yang tinggi serta tempoh menunggu hasil tuaian yang panjang.
“Jika mengusahakan sawah, mereka perlu mengeluarkan modal dan tenaga kerja tetapi pulangan bergantung kepada hasil serta harga padi, sementara pekerjaan sebagai pengawal keselamatan misalnya menawarkan gaji bulanan yang lebih konsisten.
“Jadi tidak hairan kalau orang muda terutama anak petani sendiri bekerja sebagai pengawal keselamatan kerana boleh dapat gaji setiap bulan. Kalau masuk sawah, belum tentu berapa pendapatan yang mereka dapat selepas ditolak kos,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Akhbar ini melaporkan, putus asa mengusahakan tanaman kerana kos terlalu tinggi serta golongan muda sudah tidak berminat dengan kerja-kerja di bendang antara faktor bilangan pesawah di negara ini menurun daripada 348,266 kepada 230,119, dari 2018 hingga 2023.
Aswadil Khairi berkata, keadaan itu perlu diberi perhatian serius kerana sektor padi bukan sahaja berdepan isu pendapatan pesawah, malah krisis pewarisan tenaga kerja apabila semakin ramai pengusaha berusia dan anak-anak mereka tidak mahu mengambil alih sawah.
“Kalau keadaan ini berterusan, siapa yang akan mengusahakan sawah 10 atau 20 tahun akan datang. Ini bukan lagi sekadar soal pendapatan pesawah hari ini tetapi tentang siapa yang akan menghasilkan makanan untuk negara pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan perlu melihat semula struktur pendapatan pesawah secara menyeluruh termasuk kos input, hasil sehektar, harga padi, subsidi dan mekanisme pembelian hasil supaya sektor itu kembali menarik kepada golongan muda.
Bagi Mohd. Farid Mohd. Shabudin, 38, cabaran mengusahakan sawah masa kini bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan, terutama apabila pendapatan perlu menampung kos kehidupan yang semakin meningkat.
Menurutnya, menjadi pesawah bukan sekadar turun ke sawah dan menunggu musim menuai, sebaliknya memerlukan modal, tenaga, masa serta menanggung risiko sekiranya hasil tidak seperti yang diharapkan.
“Kalau orang muda tengok berapa dapat, memang ada yang akan fikir lebih baik kerja lain yang dapat gaji setiap bulan. Kita masuk sawah, modal keluar dulu. Baja, racun, upah kerja, minyak dan macam-macam lagi. Bila musim menuai, baru tahu berapa hasil yang tinggal selepas semua kos ditolak,” ujarnya.
Katanya, keadaan itu menyebabkan sebahagian anak muda memilih pekerjaan bergaji tetap kerana lebih mudah merancang kewangan dan komitmen bulanan. – UTUSAN











