KUALA LUMPUR: Isu pelarian Rohingya di Malaysia disifatkan sebagai ‘bom jangka’ yang sudah meletup dari tahun ke tahun dan boleh membawa implikasi lebih besar terhadap politik serta nilai kemanusiaan negara jika tidak ditangani secara tegas dan adil.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Malaysia tidak boleh terus memikul tanggungjawab pengurusan pelarian secara bersendirian, sedangkan negara jiran dan negara maju yang sepatutnya berkongsi tanggungjawab masih belum mengambil tindakan setimpal.
“Isu Rohingya di Malaysia adalah bom jangka, tetapi bom jangka ini sudah meletup dari tahun ke tahun.
“Kalau kita tidak tegas dan adil untuk bertindak, ia bakal membawa masalah dan padah yang lebih besar, bukan setakat berkenaan senario politik negara, tetapi fabrik moral Malaysia secara keseluruhan,” katanya ketika membahaskan sesi penerangan mengenai Pengurusan Pelarian di Malaysia di Dewan Rakyat, hari ini.
Syed Saddiq berkata, terdapat dua janji yang diberikan kepada komuniti Rohingya dan Malaysia berkaitan pengurusan pelarian, namun kedua-duanya didakwa masih belum ditunaikan sepenuhnya.
Katanya, janji pertama adalah tanggungjawab menangani isu pelarian tidak sepatutnya dipikul Malaysia seorang diri, sebaliknya perlu dikongsi negara jiran serta negara maju.
“Kalau kita lihat contoh angka, Malaysia walaupun saiz dan populasinya jauh lebih kecil daripada negara-negara jiran kita, kadar rasmi adalah 130,000 Rohingya di Malaysia, tidak rasmi melangkaui 200,000.
“Tetapi kita lihat contohnya di Indonesia, kurang 2,600. Di India, negara yang jauh lebih besar, kurang 20,000.
“Tetapi di Malaysia, melangkaui 200,000. Ia menunjukkan janji tidak tertunai, Malaysia akhirnya perlu serap segala masalah, tetapi diserap sekadar berseorangan, sambil yang lain kekal bahagia, seperti kita sahaja yang perlu menyelesaikan masalah ini,” katanya.
Beliau berkata, janji kedua pula berkaitan peranan UNHCR dan negara-negara maju untuk menjadikan Malaysia sebagai lokasi sementara bagi proses dokumentasi sebelum pelarian ditempatkan semula di negara ketiga.
Katanya, model itu pernah dilaksanakan dalam pengurusan pelarian Vietnam sebelum ini.
“Tetapi apa yang berlaku? Malaysia, dari tahun ke tahun, jumlah angkanya bertambah sampai ke tahap di mana ia sudah mencapai boiling point atau satu titik yang tidak boleh berpatah balik.
“Kita sudah mencecah angka 200,000. Berapa negara-negara maju ambil? Kurang 1,000,” katanya. – UTUSAN











