Pakaian yang sama boleh memberikan rupa berbeza hanya dengan mengubah beberapa bahagian pada rekaan.
Daripada gaya lebih ringkas kepada penampilan yang mempunyai struktur dan lapisan, perubahan itu menjadi asas kepada koleksi Venatr/x.
Menariknya, perubahan itu tidak memerlukan keseluruhan pakaian ditukar, sebaliknya cukup dengan membuka, menambah atau menyusun semula bahagian tertentu sahaja.
Bagi merealisasikan idea itu, pereka muda, Alia Nurcinta Azry Fazamy, 22, menggunakan panel boleh tanggal, butang stud dan sistem cantuman tersembunyi pada rekaannya.
Penggunaan elemen tersebut turut membolehkan bentuk pakaian diubah, dengan potongan oversized dan struktur dramatik membentuk siluet yang lebih jelas.
Dalam masa sama, teknik jahitan dan potongan digunakan pada bahagian tertentu bagi menghasilkan tekstur, manakala susunan berlapis menambah dimensi pada rekaan.
“Inspirasi koleksi ini datang daripada sifat unik pokok Venus Flytrap, yang bertindak balas dengan membuka dan menutup perangkapnya.
“Konsep itu kemudian diterjemahkan ke dalam rekaan modular yang boleh diubah mengikut gaya dan bentuk yang diingini.
“Saya cuba mengubah tanggapan yang pakaian sebegitu terlalu teknikal atau kurang menarik dari sudut fesyen,” katanya baru-baru ini.
Katanya, pendekatan hyperchromatic turut diterapkan menerusi penggunaan warna neon yang terang dan berani.
Elemen high-end streetwear pula melengkapkan koleksi itu dengan gaya yang lebih moden dan berkarakter.
Jahitan rumit
Kata lulusan Teknologi Seni Reka Fesyen dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini, proses penghasilan koleksi itu mengambil masa dua semester atau kira-kira setahun untuk disiapkan.
Ia bermula daripada kajian konsep, pembangunan idea dan penghasilan pola sehingga percubaan teknikal.
Katanya, proses jahitan yang rumit, terutama pada bahagian panel dan struktur, menjadi antara cabaran yang dihadapinya.
Namun, pengalaman itu membantu mengasah kemahiran teknikalnya, selain memberi pemahaman lebih mendalam dalam mengembangkan idea reka bentuk.











